Search This Blog

Friday, August 15, 2014

Peneroka maut selepas pulang ziarah jenazah saudara


KEMAMAN 14 Ogos - Seorang peneroka, Abdullah Abdul Rahman (gambar), 65, yang dalam perjalanan pulang setelah melawat jenazah saudaranya maut dalam kemalangan di Kilometer 256.4, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran susur masuk Bandar Baru Ceneh, awal pagi ini.
Kemalangan berlaku ketika kereta yang dipandu anaknya, Abdul Amin Abdullah , 23, hilang kawalan lalu melanggar pembahagi jalan dan mangsa yang mengalami kecederaan dalaman meninggal dunia di tempat kejadian.
Semasa kejadian kira-kira pukul 3.50 pagi itu, Abdullah dalam perjalanan pulang ke tanah rancangan Felda Siantan, Jengka dari Kelantan.
Abdul Amin yang ditemui di Hospital Kemaman memberitahu, sebelum kejadian mereka singgah di Hentian Rehat Bandar Baru Ceneh sebelum memasuki lebuh raya tersebut.
Menurutnya, setelah keretanya melanggar pembahagi jalan tersebut, dia melihat ayahnya terperosok di bawah tempat duduk penumpang.
Tambahnya, tanpa berfikir panjang dia yang cedera ringan terus menarik ayahnya keluar dari kenderaannya kerana dia melihat minyak petrol banyak mengalir keluar dari keretanya.
"Saya takut kereta terbakar, pasal tu saya tarik terus ayah keluar .Masa saya tarik ayah keluar,saya tengok ayah nazak. Lima minit lepas itu, ayah dah tak ada " katanya.
Arwah meninggalkan seorang balu Hasnah Che Soh, 67, dan 10 orang anak.
Sementara itu Ketua Polis Daerah, Supritendan Che Suza Che Hitam ketika ditemui mengesahkan menerima laporan berkenaan kejadian tersebut.
Mayat mangsa di bawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 ( 1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140815/je_10/Peneroka-maut-selepas-pulang-ziarah-jenazah-saudara#ixzz3APUfwCA3
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment