GUA MUSANG – Penolong Pertanian Risda, Fakhruzi Ibrahim, 30, parah ditetak seorang lelaki ketika sedang minum di sebuah kedai kopi di Kampung Lembaga, di sini, pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Saiful Bahri Abdullah berkata, kejadian berlaku ketika mangsa minum bersama beberapa penduduk, kira-kira jam 11.40 pagi sebelum didatangi suspek dikenali berusia lingkungan 27 tahun.

Menurutnya, mangsa sempat mengelak apabila cuba dipukul dengan sebatang kayu dan beberapa penduduk membantunya dengan merampas batang kayu berkenaan bagi mengelakkan terus berlaku pergaduhan.

Bagaimanapun katanya, suspek yang tidak puas hati mengeluarkan sebilah golok yang terselit di pinggangnya, lalu menetak kepala mangsa dua kali menyebabkan luka parah.

“Orang ramai berjaya berjaya merampas golok daripada tangan suspek dan segera membawa mangsa ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk menerima rawatan sebelum dirujuk ke Hospital Kuala Krai (HKK).

"Suspek yang berasal dari Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Sungai Terah ditahan pada hari sama. Polis turut merampas sebilah golok dan batang kayu yang digunakan suspek," katanya.
Saiful Bahri berkata, suspek ditahan reman tiga hari sehingga 8 Ogos ini dan siasatan di bawah Seksyen 324 kanun keseksaan.

"Hasil siasatan, suspek mempunyai rekod aktiviti penyalahgunaan dadah," katanya.