Search This Blog

Monday, August 18, 2014

Padah kemaruk untung



Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin

Kuala Terengganu: Kerakusan seorang lelaki menjadi pengedar rokok seludup hingga disenaraikan sebagai antara paling dikehendaki pihak berkuasa di Terengganu, dijatuhkan hukuman denda RM1.3 juta dan penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Masri Sulong, 37, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku salah terhadap dua pertuduhan menyimpan rokok seludup mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 oleh Majistret Abdul Hayyi Salim.


Mengikut pertuduhan pertama, Masri mengaku salah menyimpan barang larangan itu di sebuah premis tidak bernombor berhampiran sebuah rumah di Kampung Beladau Selat, di sini, jam 6.45 petang pada 27 Januari lalu, iaitu 109 karton rokok putih Premium, 156 karton rokok putih Halftime, 56 karton rokok putih Canyon (Hijau), 140 karton rokok putih Pine Apple, 45 karton rokok putih Pine Strawberry dan 36 karton rokok putih John Menthol.

Lelaki berkenaan turut didakwa menyimpan 84 karton rokok putih John White, 25 karton rokok putih John White Menthol, 5,500 karton rokok putih John White, 4,500 karton rokok putih John White (merah), 40 karton rokok kretek LB Light, 200 karton rokok kretek Minna dan 16 karton rokok kretek Minna Barokah.


Semua rokok terbabit mempunyai nilai taksiran RM109,742 iaitu barangan yang dilarang import mengikut Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import dan Eksport) 2012 dengan niat mengelak larangan itu.


Selain itu, tindakan melucutkan hak semua rokok kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Terengganu untuk dilupuskan boleh dikenakan mengikut Peruntukan Lucut Hak mengikut Seksyen 127 (1) Akta Kastam 1967.

Bagi pertuduhan pertama, Abdul Hayyi Salim menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan denda RM1,097,420 atau tiga bulan penjara jika gagal menjelaskan denda.

Bagi pertuduhan kedua, Masri mengaku salah pada hari dan waktu sama menyimpan barang larangan iaitu 500 karton rokok putih John White dan 1,500 karton rokok putih John White (merah) yang ditaksirkan bernilai RM20,000 di dalam sebuah lori yang diletakkan berhampiran rumah terbabit.

Semua rokok dan lori miliknya juga akan dilucutkan hak kepada JKDM Terengganu untuk dilupuskan mengikut Peruntukan Lucut Hak mengikut Seksyen 127(1) Akta Kastam 1967.

Bagi pengakuan salah itu, Masri dijatuhi hukuman penjara seminggu dan denda RM200,000 atau empat bulan penjara lagi sekiranya gagal menjelaskan jumlah denda berkenaan.

Bagaimanapun, Abdul Hayyi memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/18

No comments:

Post a Comment