Search This Blog

Friday, August 22, 2014

Ops Titik catat 346 kes


ALOR SETAR 21 Ogos - Ops Titik yang dijalankan bermula 15 Mei lalu untuk membanteras kegiatan penyelewengan petrol dan diesel bersubsidi di negara ini berjaya merekodkan sebanyak 346 kes melibatkan sitaan bernilai RM17.1 juta.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PDNKK), Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, operasi itu dijalankan secara menyeluruh dengan menyasarkan semua pihak iaitu syarikat, individu dan kawasan panas yang dikenal pasti menerusi risikan.
"Kedah mencatatkan kes tertinggi iaitu sebanyak 71 dengan nilai sitaan sebanyak RM2 juta manakala Johor pula mencatatkan sitaan tertinggi sebanyak RM3 juta merekodkan sebanyak 16 kes.
"Sehingga semalam, kementerian telah menjalankan 16,336 pemeriksaan di seluruh negara dan daripada jumlah itu kita berjaya merekodkan sebanyak 346 kes melibatkan sitaan bernilai RM17.1 juta," katanya selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Bersama Pengusaha-Pengusaha Stesen Minyak Kawasan Utara (Kedah, Perlis, Pulau Pinang) di sini hari ini.
Menurut Ahmad Bashah, selain operasi bersepadu tersebut kementerian juga mengambil beberapa langkah lain seperti menghadkan pengeluaran kuota bahan bakar itu dalam kalangan pengusaha stesen minyak di negeri-negeri yang bersempadan dengan negara jiran seperti Perlis, Kedah, Kelantan, Perak dan Johor.
"Bermula 1 Ogos lalu, kita telah menetapkan kuota penjualan bahan bakar itu kepada semua stesen minyak yang berada dalam lingkungan 25 kilometer dari sempadan negara jiran.
"Sekarang ini semua stesen minyak yang terlibat hanya dibenarkan menjual bahan bakar itu mengikut kuota yang ditetapkan.
"Jika didapati mereka menjual melebihi kuota tersebut kita akan siasat dan mengambil tindakan sewajarnya kerana kita mempunyai senarai stesen-stesen ini," ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140822/je_04/Ops-Titik-catat-346-kes#ixzz3B4RjTOxy
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment