• Motosikal yang dilaporkan hilang ditemui di rumah suspek.Motosikal yang dilaporkan hilang ditemui di rumah suspek.

KULIM - Selepas dua ahli Geng Sauki ditahan kelmarin kerana memiliki enjin motosikal curi, membawa kepada penahanan dua lagi lelaki berusia 20 tahun di Sungai Limau, kira-kira jam 4 petang semalam.

Dari siasatan dijalankan, Geng Sauki melakukan beberapa kes kecurian motosikal sepanjang bulan puasa lalu.

Selain motosikal baru, geng ini turut mencuri motosikal lama untuk kegunaan sendiri.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Abdullah Arshad berkata, motosikal dicuri itu merupakan motosikal yang dilaporkan hilang di Kulim Hi-Tech.

Menurutnya, polis membawa dua suspek yang ditahan dan meminta mereka menunjukkan lokasi motosikal itu disembunyikan.

“Kami membawa suspek pergi ke lokasi terlibat. Apabila sampai di sana, suspek mengarahkan kami memberhentikan kenderaan di hadapan rumah seorang suspek yang ditahan dan menunjuk motosikal yang dicuri.

"Kami kemudiannya membuat semakan terhadap nombor enjin motosikal terlibat dan mendapati ia masih dilaporkan hilang," katanya.

Katanya, motosikal itu kemudiannya dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim dan akan dijadikan bahan bukti ketika pendakwaan.

"Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri motosikal,” katanya.