• Pasangan suami isteri ini dihukum penjara 3 dan dua bulan oleh mahkamah majistretPasangan suami isteri ini dihukum penjara 3 dan dua bulan oleh mahkamah majistret

KUALA TERENGGANU - Taktik sepasang suami isteri menjadikan anak perempuan mereka yang baru berusia tiga tahun sebagai ‘umpan’ untuk mengaburi mata sebelum bertindak melarikan seutas gelang tangan emas dan wang RM300 milik seorang warga emas tidak menjadi apabila kedua-duanya ditahan polis.

Susulan itu, Zulkarnaine Mohamad, 40, dijatuhi hukuman tiga bulan penjara dan denda RM3,000 manakala isterinya, Suhana Said, 39, dijatuhi hukuman penjara dua bulan dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Kedua-duanya turut berdepan penjara enam bulan lagi jika gagal menjelaskan denda.

Keputusan itu dibuat selepas pasangan tersebut mengaku salah bersama-sama dengan sengaja menolong memindahkan seutas gelang tangan emas dan duit RM300 milik Maimon Mahmud, 73.

Berdasarkan fakta kes, pada 26 Jun lalu, kira-kira jam 10.30 pagi, semasa mangsa berada di rumahnya di Jalan Sekolah Kebangsaan Chendering, di sini, datang seorang wanita iaitu Suhana bersama seorang kanak-kanak perempuan ingin mengemas rumahnya.

Mangsa membenarkan Suhana untuk membuat kerja di dalam rumah kerana sebelum ini, iaitu lima bulan lalu, Suhana pernah datang ke rumahnya memohon kerja sebagai pembantu rumah dengan memperkenalkan dirinya sebagai ‘Na’.

Bagaimanapun, kira-kira jam 1 petang, Suhana meminta izin untuk membeli nasi dan berjanji akan sambung semula kerja-kerjanya, namun dia tidak muncul selepas itu.

Mangsa berasa tidak sedap hati dan membuat pemeriksaan di dalam rumahnya sebelum mendapati seutas gelang tangan emas bernilai kira-kira RM4,000 dan wang tunai lebih kurang RM300 miliknya telah hilang.

Yakin barangan berkenaan dilarikan Suhana, mangsa membuat laporan polis dan pada 11 Ogos lalu, lebih kurang jam 2.20 petang, Suhana dan suaminya ditangkap di hadapan sebuah rumah di Kampung Pengkalan Gelugor, Gelugor Kedai.

Hasil siasatan, Suhana mengaku mencuri barang tersebut dan memaklumkan dia bersama suaminya telah menjual gelang tangan berkenaan kepada peraih emas di Jalan Banggol, di sini.