Search This Blog

Sunday, August 31, 2014

Menteri skandal penulis blog


Wellington: Menteri Kehakiman New Zealand Judith Collins meletak jawatan semalam akibat desas-desus yang mengaitkannya dengan penulis blog yang kontroversi.

Keputusannya itu hanya tiga minggu sebelum pilihan raya umum negara berkenaan dan dilihat mampu memberi kesan terhadap pelantikan semula Perdana Menteri John Key untuk penggal ketiga.
Parti pembangkang rata-rata melihat kejadian itu sebagai perkembangan positif manakala Key nyata mengharapkan peletakan jawatan Judith akan menutup sebarang persepsi negatif terhadap partinya.

Judith antara menteri paling penting dalam barisan Kabinet Key malah ada yang melihatnya sebagai bakal perdana menteri negara itu.


Wartawan sambilan dan aktivis Nicky Hager mendedahkan Judith pernah mengadakan perbincangan dengan penulis blog Cameron Slater dalam bukunya ‘Dirty Politics’ yang diterbitkan awal Ogos.




Buku itu mendedahkan antara lain e-mel daripada blog Slater yang diperolehnya.

Bagaimanapun, Key tidak menyebut langsung mengenai buku itu ketika mengumumkan peletakan jawatan Judith, sebaliknya menegaskan pihaknya menerima maklumat yang negatif membabitkan perlakuannya sebagai menteri.

“Maklumat diterima memberi gambaran dia mungkin terbabit dalam perbincangan dengan seorang penulis blog pada 2011 yang bertujuan mendedahkan kepincangan seorang pegawai kanan ketika itu.

“Pada masa itu, dia adalah menteri yang bertanggungjawab terhadap jabatan pegawai kanan terbabit,” katanya.

Sementara itu, Key turut mendedahkan e-mel ditulis Slater pada 2011 yang dihantar kepada beberapa orang yang menyebut perbincangan diadakan dengan Judith untuk ‘mengenakan’ pegawai kanan terbabit.

Sementara itu, Judith dalam satu kenyataan berkata e-mel berkenaan tiada kaitan dengannya selain menafikan bertindak di luar batasan.

Sebaliknya, katanya, dia meletak jawatan untuk mengelak isu itu dijadikan alat untuk menjatuhkan Key atau Parti Nasional dipimpinnya ketika kempen pilihan raya.

Bagaimanapun, dia menegaskan akan tetap aktif dalam politik dan bercadang berkempen untuk dilantik semula.

Sementara itu, Slater dalam penulisan blognya semalam berkata, dia bersimpati dengan nasib Judith yang dianggap seorang rakan dan mangsa kempen berhaluan kiri.

“Permainan’ ini sungguh indah namun amat kotor dan kejam,” katanya. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/31

No comments:

Post a Comment