• Di kawasan surau inilah mangsa dipapah oleh isterinya sebelum mangsa menghembuskan nafas
terakhirnya.Di kawasan surau inilah mangsa dipapah oleh isterinya sebelum mangsa menghembuskan nafas terakhirnya.

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki warga emas meninggal dunia selepas dipercayai beberapa minit berkelahi dengan anak jirannya, dalam satu kejadian di sebuah flat di Bukit Kecil, di sini, semalam.

Sebelum kejadian dipercayai kira-kira jam 10.30 pagi itu, mangsa, 70-an dikatakan pada awalnya hanya bertikam lidah dengan anak jirannya yang berusia 20-an disebabkan perselisihan faham sebelum ini di antara mereka berdua.

Menurut sumber, bagaimanapun, kedua-dua mereka yang gagal mengawal emosi masing-masing telah menyebabkan pertengkaran kecil itu menjadi agak serius sehingga berlakunya pergelutan.

“Mangsa yang dipercayai tidak berpuas hati dengan anak jirannya sebelum ini telah ‘menyerang’ pemuda itu sejurus ternampak kelibatnya yang ketika itu sedang menunggang motosikal di kawasan flat berkenaan.

“Pada awalnya mereka berdua hanya bertengkar mulut, namun menjadi agak serius sehingga berlaku pergelutan.

“Dalam pergelutan itu, mangsa dikatakan telah jatuh sebelum dibawa isterinya ke sebuah surau berhampiran tetapi meninggal dunia tidak lama kemudian,” katanya.

Difahamkan, mangsa menghidap pelbagai penyakit termasuk jantung.

Sementara itu, seorang saksi kejadian, Shahida Abdullah, 39, berkata, ketika sedang melayan pelanggan di warung miliknya yang terletak hanya kira-kira 50 meter dari surau berkenaan, dia ternampak pasangan suami isteri itu sedang duduk di atas kerusi yang disediakan di kawasan surau.

“Semasa itu, saya nampak isterinya sedang mengurut dada arwah yang ketika itu kelihatan berada dalam keadaan yang agak lemah.

“Disebabkan saya memang mengenali mereka, jadi saya mengambil keputusan menghampirinya untuk mengetahui situasi sebenar, namun, sejurus tiba di situ, saya dimaklumkan dia sudah meninggal dunia,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.
Jelasnya, buat masa ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Kita masih menunggu laporan bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa dan pada masa sama, polis turut menahan suspek serta saksi kejadian bagi membantu siasatan,” katanya.