Search This Blog

Monday, August 11, 2014

Mayat dalam beg pakaian



Tampin: Misteri penemuan beg pakaian yang berkunci dan diikat dengan tali dalam longkang di Taman Gemas Jaya, dekat sini, kelmarin, terjawab, apabila pemeriksaan mendapati beg berkenaan berisi mayat seorang wanita.
Lebih menyayat hati, mangsa yang berusia 20-an itu dipercayai dibunuh dengan kejam di lokasi lain, menggunakan objek tumpul selain dua jari tangan kirinya turut hancur.

Ketua Polis Daerah Tampin Superintendan Wooi Kooi Cheang berkata, beg berkenaan ditemui seorang pekerja sebuah kedai perabot berhampiran sebelum melaporkannya kepada polis jam 5 petang.
“Hasil siasatan, kami mendapati dalam beg yang zipnya dikunci mangga dan diikat tali itu terdapat mayat seorang wanita lengkap berpakaian kemeja-T bergambar ‘Mickey Mouse’ dan berseluar biru.

“Malah, kami juga mendapati terdapat kesan luka sepanjang 6 sentimeter pada dahi mangsa dipercayai dipukul dengan objek tumpul selain kedua-dua tangan mangsa lebam dan dua jari tangan kiri hancur,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, kelmarin.

Beliau berkata, mangsa yang berkulit cerah dan mempunyai ketinggian kira-kira 152cm itu dipercayai dibunuh dalam tempoh kurang 48 jam sebelum mayatnya ditemui.
Foto
ANGGOTA polis menjalankan siasatan di lokasi penemuan beg berisi mayat wanita.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut terhadap mayat mangsa tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri, malah pemeriksaan juga mendapati tiada kesan suntikan BCG di kedua-dua bahunya.

Wooi berkata, pihaknya mengesyaki mangsa adalah pelancong berdasarkan penemuan beberapa pakaian dalam beg sama dipercayai milik mangsa.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Berdasarkan laporan awal bedah siasat, punca kematian tidak dapat dikenal pasti, namun kesan ketara luka di dahi berkemungkinan menjadi penyebab kematian mangsa.

“Ujian lanjut perlu dijalankan bagi mengetahui kemungkinan mangsa mengandung atau tidak kerana tubuh mangsa adalah kecil,” katanya.

Malah, beliau turut menafikan mesej yang tersebar dalam media sosial dan aplikasi Whatsapp kononnya mangsa kanak-kanak perempuan dan organ dalamannya diambil.

Tambahnya, individu yang ada kehilangan ahli keluarga atau kenalan diminta menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin di talian 06-4411222.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/11

No comments:

Post a Comment