• Keadaan mangsa yang terperosok di bawah lori dalam kemalangan malam kelmarin.Keadaan mangsa yang terperosok di bawah lori dalam kemalangan malam kelmarin.

KLANG - Seorang pemandu lori tidak menyangka rasa berat pada salah satu tayar kenderaannya rupanya akibat terpijak tubuh manusia.

Pemandu berusia 54 tahun itu segera memberhentikan lori dipandunya dan terkejut apabila mendapati sekujur tubuh lelaki terperosok di bawahnya.

Ketua Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, Deputi Superintendan Rosly Abd Rahman berkata, kejadian berlaku pada jam 8.40 malam kelmarin sewaktu lori berkenaan sedang dalam perjalanan dari Pelabuhan Klang menuju ke Pelabuhan Barat.

“Setibanya di persimpangan Pulau Indah, pemandu lori itu terasa seperti terlanggar sesuatu. Dia kemudiannya keluar memeriksa dan terkejut dengan kejadian itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, mangsa yang menunggang motosikal dipercayai terperosok ke bawah lori berkenaan sebelum kejadian itu.

“Mangsa yang sudah meninggal dunia dibawa ke Bilik Mayat Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat.

“Hasil bedah siasat mendapati mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.