MARAN - Ketua Kampung Felda Jengka 10 dan empat rakan mangsa sebak ketika membantu mengutip cebisan tempurung kepala mangsa di lokasi kejadian kemalangan maut di Kilometer 41 Jalan Maran-Jerantut, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, seorang pelajar tingkatan tiga, Hamirul Hakim Abdullah dari Felda Jengka 10 meninggal dunia apabila motosikal ditunggang bertembung sebuah lori tiga tan dari arah bertentangan.

Ketua Kampung Felda Jengka 10, Jantan Mat Saman berkata, dia secara kebetulan pulang dari pekan Sungai Jerik tiba di lokasi kejadian berdekatan simpang masuk ke tanah rancangan itu, beberapa minit selepas kemalangan berlaku.

“Mereka berlima termasuk mangsa difahamkan menunggang motosikal masing-masing dalam perjalanan pulang membeli barang ganti motosikal di Pekan Sungai Jerik.

“Suasana jadi pilu dan saya sendiri tidak mampu menahan sebak ketika membantu mengutip cebisan daging dan tempurung kepala mangsa.

“Rakan mangsa turut membantu dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Jengka untuk bedah siasat sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jengka 10, malam tadi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Maran, Pemangku Deputi Superintendan Sulaiman A Hamid berkata, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda C70 dipercayai tidak memakai topi keledar bertembung dengan sebuah lori Isuzu tiga tan membawa anak ayam dari arah bertentangan.

Menurutnya, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

“Siasatan mendapati pemandu lori berusia 32 tahun dari Ledang, Johor itu positif dadah dan kini di tahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran sebelum diserahkan kepada bahagian narkotik untuk tindakan lanjut,” katanya.