Search This Blog

Monday, August 11, 2014

Mangsa culik ditemui mati


PULAU PINANG 10 Ogos - Seorang lelaki warga Bangladesh yang dipercayai menjadi mangsa culik sekumpulan warga asing dari Myanmar semalam, ditemui mati dengan kesan jerut di bahagian lehernya di atas Bukit Gambir di sini, hari ini.
Mayat mangsa berusia 39 tahun itu ditemui pada pukul 1.30 petang, hasil laporan seorang lagi mangsa culik yang berjaya melepaskan diri dalam kejadian tersebut.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridaltrash Wahid berkata, pemeriksaan pihaknya mendapati mayat terbabit merupakan seorang lelaki warga Bangladesh yang dilaporkan ditahan sekumpulan warga asing lain semalam.
Katanya, sebaik sahaja mendapat laporan berhubung kejadian semalam, pihaknya telah menjalankan operasi mencari mangsa sehingga pukul 7.30 malam tetapi gagal menemukan sebarang petunjuk.
"Hari ini, salah seorang daripada mangsa berusia 33 tahun yang diculik tampil membuat laporan polis setelah berjaya melepaskan diri. Lelaki itu mendakwa dia dan seorang rakannya telah diculik dan dibawa ke bukit berkenaan sebelum kumpulan tersebut menuntut wang tebusan berjumlah RM200,000 daripada rakan-rakannya.
"Kita kemudian melancarkan operasi dan menjumpai mayat mangsa dalam keadaan berbogel seterusnya dibawa turun dengan bantuan Pasukan Bomba dan Penyelamat. Mayat dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat," katanya di lokasi kejadian di sini hari ini.
Beliau seterusnya memberitahu, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
"Kita juga akan memanggil kira-kira 20 rakan mangsa untuk diambil keterangan dan membantu siasatan," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140811/je_02/Mangsa-culik-ditemui-mati#ixzz3A1uFKG3s
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment