Search This Blog

Tuesday, August 5, 2014

Makmal mini proses dadah terbakar




MOHAN Singh Tara Singh (tiga dari kiri) menunjukkan alat memproses dadah yang dirampas ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/ZAINI HUSIN
KUALA LUMPUR 4 Ogos - Polis menahan dua individu susulan kebakaran satu unit penthouse kondominium yang dijadikan sebagai makmal mini memproses syabu dan pil kuda di Taman Sungai Besi di sini, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Cheras, Se­nior Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, pihaknya juga merampas 12 peket pil kuda yang diisi di dalam sebuah beg bernilai RM1 juta dan 25.7 kilogram syabu bernilai RM2.5 juta.
Katanya, selain itu, pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses dadah seperti cecair kimia pelbagai warna, balang kaca, dapur gas, alat penimbang, bekas plastik dan penapis.
"Kita juga menyita dua kereta dipercayai milik suspek dianggarkan bernilai RM200,000. Kedua-dua suspek iaitu lelaki warga tempatan berusia 38 tahun dan wanita warga asing berusia 27 tahun ditahan di sebuah unit lain kediaman berkenaan pada hari sama.
"Mereka yang mempunyai akses terhadap unit penthouse itu direman sehingga Rabu ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.15 tengah hari itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Tun Razak dikejarkan ke kondominium tersebut sebaik sahaja menerima maklumat berhubung satu kebakaran sete­rusnya membongkar kegiatan memproses dadah.
Siasatan mendapati kebakaran berkenaan dipercayai berpunca daripada campuran bahan kimia untuk menghasilkan syabu di dalam rumah berkenaan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140805/je_01/Makmal-mini-proses-dadah-terbakar#ixzz39SnqK4hQ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment