Search This Blog

Monday, August 11, 2014

Litar pintas musnah 13 rumah air


Lawas: Lebih 50 penduduk tinggal sehelai sepinggang selepas 13 rumah perkampungan atas air di Kampung Awat-Awat, Sundar di sini, musnah dalam kebakaran, petang semalam.

Dalam kejadian jam 3.45 petang itu, kebakaran dipercayai bermula dari sebuah rumah sebelum merebak berikutan kedudukan kediaman itu rapat antara satu sama lain.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lawas Shamlie Radie berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 4 petang dengan sembilan anggota bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 45 kilometer dari balai bomba.



Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, pihaknya mendapati kira-kira 10 rumah sudah terbakar dan api marak ketika itu.


“Dua lelaki berusia lingkungan 20-an melecur di badan ketika cuba menyelamatkan barangan dalam rumah. Kedua-duanya sudah dihantar ke Hospital Lawas untuk rawatan lanjut.


“Kedudukan rumah yang rapat menyukarkan kerja memadam kebakaran, selain terpaksa menyedut air sungai berikutan masalah tekanan air rendah di kawasan berkenaan,” katanya.

Shamlie berkata, kebakaran dipercayai berpunca litar pintas dari sebuah rumah, bagaimanapun punca sebenar dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.


“Setakat jam 6.30 petang tadi (semalam), bomba masih menjalankan kerja mengawal kebakaran di kawasan terbabit bagi memastikan api benar-benar padam kerana khuatir merebak semula berikutan keadaan kering dan berangin.

“Bomba masih mengawal lokasi kejadian bagi kerja penyiasatan dan mengambil keterangan mangsa,” katanya.


Kebakaran di kampung itu adalah yang kedua dalam tempoh sembilan bulan dengan kejadian pertama pada 30 Oktober lalu, apabila 15 rumah di Kampung Awat-Awat musnah dalam kebakaran.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/11

No comments:

Post a Comment