• Anggota bomba sedang memadamkan api yang memusnahkan sebuah rumah pusaka berusia lebih 50 tahun di Kampung Pulau Rusa, Kuala Terengganu, semalam.Anggota bomba sedang memadamkan api yang memusnahkan sebuah rumah pusaka berusia lebih 50 tahun di Kampung Pulau Rusa, Kuala Terengganu, semalam.

KUALA TERENGGANU - “Pada mulanya saya ingatkan letupan yang bertubi-tubi itu bunyi budak main mercun, tapi selepas terhidu bau hangit, saya terus bergegas keluar dan mendapati api sedang marak di rumah berkenaan,” kata Tuan Zaharin Tuan Sembok, 38.

Tuan Zaharin merupakan jiran serta saksi pertama melihat insiden kebakaran yang meranapkan rumah pusaka yang sudah dua tahun tidak berpenghuni di Kampung Pulau Rusa, di sini.

Menceritakan kejadian kira-kira jam 2.40 petang itu, Tuan Zaharin berkata, sebelum terdengar bunyi letupan kuat, dia berada di rumahnya yang terletak kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian.

“Ketika sedang bercakap telefon dengan rakan, saya terdengar bunyi letupan dan sangkakan bunyi mercun, tetapi selepas terhidu bau hangit serta ternampak asap tebal dari arah tepi rumah, saya bergegas keluar sebelum mendapati api sedang marak membakar rumah berkenaan.

“Saya terus telefon bomba untuk mendapatkan bantuan dan sementara menunggu bomba tiba, saya bersama beberapa jiran lain cuba memadamkan api bagi menghalang merebak ke rumah berdekatan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Tuan Zaharin berkata, api merebak terlalu pantas dan dalam masa tidak sampai 10 minit, rumah pusaka berusia lebih 50 tahun itu ‘hilang’ begitu sahaja.

Sementara itu, Komander Operasi Penguasa Bomba Kanan 11, Syukri Zahari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 2.53 petang dan setibanya di lokasi kejadian, api sedang marak membakar keseluruhan rumah berkenaan.

“Dengan kekuatan 14 anggota, kami mengambil masa beberapa minit untuk memadamkan kebakaran, namun rumah jenis sementara yang tidak berpenghuni itu gagal diselamatkan,” katanya.