• Seekor lembu yang disumbat di bonet belakang kereta terbabit dipercayai dicuri selepas disuntik pelali.Seekor lembu yang disumbat di bonet belakang kereta terbabit dipercayai dicuri selepas disuntik pelali.

MARAN - Seekor lembu di percayai dicuri dijumpai di dalam but sebuah kereta jenis Proton Iswara yang terkandas di ladang kelapa sawit dekat Felda Jengka 4 dalam satu kejadian kejar mengejar dengan pihak polis, kira-kira jam 12 tengah hari, kelmarin.

Bagaimanapun, lima individu yang menaiki kenderaan terbabit berjaya meloloskan diri ke kawasan ladang kelapa sawit berdekatan selepas kereta itu dikejar lebih 30 kilometer dari Pekan Sri Jaya.

Ketua Polis Daerah Maran, Pemangku Deputi Superintendan Sulaiman A Hamid berkata, suspek di lihat dalam keadaan mencurigakan ketika berada di Pekan Sri Jaya dan gagal memberhentikan kenderaan apabila diminta berbuat demikian.

Menurutnya, suspek kemudian bertindak memecut kenderaan dinaiki menghala ke Bandar Maran sebelum satu sekatan polis dibuat berhampiran sebuah lampu isyarat di bandar itu.

“Suspek turut merempuh sekatan tersebut namun terkandas ketika cuba memasuki kawasan ladang kelapa sawit Jengka 4.

“Seekor lembu yang dipercayai disuntik pelali berada di dalam but kereta tersebut selain menjumpai alatan suntikan pelali di dalam kenderaan terbabit.

“Sehingga kini, pihak polis masih belum menerima sebarang laporan berhubung kehilangan haiwan ternakan itu,” katanya.

Sulaiman berkata, sekiranya tiada laporan dalam tempoh dua hari lagi, lembu itu akan diserahkan kepada Pejabat Veterinar Daerah untuk tindakan lanjut.