SEORANG wanita di London ditikam hingga mati kerana kekasihnya mendakwa mangsa dirasuk dalam satu insiden mengejutkan di kediaman mereka pada 13 September lalu.

Gemma Finnigan, 24, turut dicekik teman lelakinya dipercayai mengalami gangguan kemurungan psikotik.

Perbuatan Daniel Johnson, 32, terbongkar selepas pihak berkuasa menemui tertuduh merayau-rayau di sekitar sekolah lamanya di Kenton, New Castle dalam keadaan mencurigakan.

Menurut polis, Johnson berkelakuan pelik ketika dia ditahan di lokap dan turut mengancam untuk mengelar anggota yang bertugas.

Susulan daripada itu, lelaki tersebut telah ditempatkan di sebuah hospital psikiatri di Nottinghamshire.

Dalam satu kenyataan, jurucakap Newcastle Crown Court memberitahu tertuduh mengaku tidak bersalah kerana tidak siuman dalam satu perbicaraan sebelum ini.

"Hasil pemeriksaan tiga pakar ke atas Johnson mendapati dia mengalami skizofrenia dan psikotik ketika melakukan pembunuhan itu.

"Rekod kesihatan tertuduh menunjukkan dia ada masalah psikiatri dan pernah dirawat pada 2010 dan 2011," jelasnya kepada Daily Mail.

Difahamkan, kira-kira dua minggu sebelum kejadian pembunuhan itu, Finnigan ada bercerita kepada keluarganya mengenai tingkah laku pelik kekasihnya.

Mangsa juga telah membuat temu janji untuk membawa Johnson berjumpa doktor, namun lelaki itu enggan berbuat demikian hingga menyebabkan mereka bertengkar sehari sebelum wanita itu dibunuh.