Search This Blog

Sunday, August 31, 2014

Lelaki ditahan bersama submesingan 200 peluru


ALOR SETAR 30 Ogos - Cubaan seorang lelaki bersenjata api untuk meloloskan diri daripada ditahan polis gagal apabila dia akhirnya diberkas di jalan menghala ke Tol Sungai Petani Utara, dekat sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, lelaki berumur awal 30-an yang memandu kereta jenis Wira Aeroback itu ditahan bersama selaras submesingan, 200 butir peluru dan dadah jenis heroin seberat 428 gram serta syabu seberat satu gram.
Suspek turut melanggar dua buah kereta jenis Proton Preve dan Perodua Kancil ketika cuba melarikan diri dan pihak polis terpaksa melepaskan dua das tembakan untuk memaksanya berhenti.
Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, senjata api yang dipercayai dibawa masuk daripada negara jiran itu dipercayai untuk diedarkan di Sungai Petani.
"Kita tahan lelaki ini di Sungai Petani namun alamatnya di Padang Besar, Perlis. Jadi siasatan awal kita percaya senjata api ini dari Padang Besar dan mungkin untuk diberikan kepada seseorang di Sungai Petani namun kita masih belum dapat mengesahkannya.
"Kita juga sedang menyiasat kepada siapa dia akan serahkan submesingan ini kerana kita bimbang dia bekalkan senjata tersebut kepada penjenayah di negara ini," katanya di sini hari ini
Menurut Ahmad, suspek ditahan reman mulai semalam hingga 5 September ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti) Lebih Berat 1971, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140831/je_04/Lelaki-ditahan-bersama-submesingan-200-peluru#ixzz3BvMCJ1L2
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment