• Tertuduh diiringi anggota polis ke lokap mahkamah sementara menunggu wang jaminan dijelaskan semasa hadir untuk sebutan pertama kes itu 24 Julai lalu.Tertuduh diiringi anggota polis ke lokap mahkamah sementara menunggu wang jaminan dijelaskan semasa hadir untuk sebutan pertama kes itu 24 Julai lalu.

KUANTAN - Seorang pekerja sambilan sebuah syarikat pembalakan yang juga peminat senjata dan bahan letupan terpaksa melupakan minatnya itu apabila segala koleksi yang disimpan selama ini mengheretnya ke penjara selama 44 hari dan terpaksa menjelaskan denda RM8,000, semalam.

Lee Ming Hooi, 27, dari Lorong Air Putih 68,  Jalan Beserah di sini yang mengaku bersalah dalam Mahkamah Majistret Kuantan 24 Julai lalu mengekalkan pengakuan bersalahnya semalam bagi dua daripada tiga pertuduhan memiliki senjata api tiruan, senjata bahaya dan bahan yang dihadapinya.

Bagaimanapun dia menukar pengakuan tidak bersalah terhadap salah satu pertuduhan selepas tuduhan mengikut Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Bahaya 1958 yang dihadapinya dipindah dan disebut semula di mahkamah sesyen, semalam.

Dalam sebutan kesnya semalam, Meng Hooi mengekalkan pengakuan bersalahnya terhadap tuduhan mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 kerana memiliki dua alat renjatan elektrik.

Mengikut seksyen itu, dia berdepan hukuman penjara tidak lebih setahun atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Bagaimanapun bagi kesalahan itu, Majistret Nor Zaihan Mohamed Ali menjatuhkan hukuman penjara 22 hari dan denda RM3,000 terhadap tertuduh.

Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 kerana memiliki satu mercun buatan sendiri dan lapan bahan letupan  jenis Super Power 90.

Bagi kesalahan itu, tertuduh juga dipenjara 22 hari dan denda RM5,000 atau empat bulan penjara.

Hukuman penjara bagi kedua-dua pertuduhan itu bagaimanapun berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap 16 Julai lalu.

Dalam Mahkamah Sesyen Kuantan, tertuduh menukar pengakuan kepada tidak bersalah terhadap tuduhan mengikut Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Bahaya 1958.

Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa memiliki empat unit busur silang, satu pistol tiruan bersama lima butir peluru, dua buku lima, lapan bilah parang pelbagai saiz, dua bilah pedang 50 sentimeter (sm) dan dua pedang berkembar ukuran 55 sm.

Tertuduh yang mengaku tidak bersalah ditawarkan jaminan RM20,000 oleh pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Wahida Zainal Abidin.

Bagaimanapun Hakim Datuk Zainal Abidin Kamaruddin membenarkan jumlah itu dikurangkan kepada RM15,000 dan diperintahkan melaporkan diri di Balai Polis Kuantan setiap bulan sebelum atau pada 5 hari bulan hingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 8 September depan untuk sebutan semula kes tersebut.

Peguam, Zaharman Zainal Abidin ketika mewakili tertuduh dalam rayuannya menjelaskan, semua senjata dan bahan letupan yang dirampas adalah koleksi anak guamnya yang amat berminat dengan barangan itu.

Menurutnya, semua barang yang dirampas ditemui di dalam rumah yang jelas menunjukkan senjata itu hanya untuk hobi dan bukan bagi tujuan jenayah.

“Senjata itu tidak pernah dibawa keluar dan tiada kesan menunjukkan ianya pernah digunakan.

“Manakala mercun dan bahan letupan digunakan untuk ‘mengebom’ ikan ketika memasuki hutan menjalankan kerja-kerja pembalakan,” katanya.

Majistret Noor Zaihan bagaimanapun menasihatkan tertuduh supaya melupakan hobinya itu kerana ia telah menyusahkan diri sendiri sehingga terpaksa meringkuk di dalam penjara.

“Carilah hobi baharu yang lebih sesuai,” katanya sebelum menjatuhkan hukuman.