Search This Blog

Wednesday, August 27, 2014

Lelaki curi basikal dipenjara 15 bulan


WARTAWAN SINAR HARIAN
27 Ogos 2014

KUANTAN - Seorang lelaki yang menghadapi tuduhan mencuri basikal dihukum penjara 15 bulan selepas dia mengaku bersalah dalam Mahkamah Majistret Kuantan semalam atas tuduhan tersebut.

Hukuman ke atas Sanupi Ibrahim, 39, dari Batu 5, Jalan Gambang dekat sini dibuat Majistret Noor Zaihan Mohamad Ali manakala pendakwaan dikemukakan Pegawai Pendakwa, Inspektor V Munesvaran.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa mencuri basikal jenama Oscar milik seorang lelaki yang diletakkan di hadapan sebuah rumah  di Lorong Permatang Badak Jaya 5, Taman Permatang Badak Jaya di sini.

Dia didakwa mencuri basikal bernilai RM330 itu kira-kira jam 8.30 malam, 12 Ogos lalu.

Tertuduh yang berjaya diberkas dihadapkan ke mahkamah itu semalam atas tuduhan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, dalam mahkamah sama, seorang lelaki mengaku bersalah atas tuduhan mencuri komponen kenderaan sebelum dijatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM3,000 atau tujuh bulan penjara jika gagal menjelaskan denda.

Tertuduh, Saipuadri Salleh, 40 Felda Neram 1, Kemaman didakwa mencuri empat biji rim bersama tayar milik seorang lelaki  yang diletakkan di hadapan rumah di Lorong 1/40 Pandan Damai 1, Taman Pandan Damai di sini.

Dia didakwa mencuri komponen yang dianggarkan bernilai RM2,500 itu antara jam 8 pagi hingga 6.05 petang, 8 Mei lalu.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh berjaya ditahan selepas perbuatannya berjaya dirakam Sistem Kamera Litar Tertutup (CCTV) di mana rakam tersebut dikemukakan sebagai bahan bukti di mahkamah semalam.

No comments:

Post a Comment