Search This Blog

Monday, August 18, 2014

Kutip kotak nyawa melayang


Melaka: Seorang pekerja restoran maut selepas dirempuh sebuah motosikal ketika melintas jalan dalam kejadian di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) arah Melaka dekat Cheng, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 2 pagi itu, mangsa, Ji Ah Sun, 57, mati di tempat kejadian akibat parah di kepala, tangan serta kaki kiri dan mayatnya dibawa ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarganya untuk dikebumikan.
Difahamkan, sebelum kejadian mangsa yang tinggal di Taman Cheng Perdana, di sini, dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas selesai mengutip tin dan kotak untuk dijual sebagai barangan kitar semula sebelum terbabit dalam kemalangan itu.
Menurut sumber, ketika mangsa hendak melintas dari sebuah pasar raya ke rumahnya, muncul sekumpulan pemuda bermotosikal dari arah Paya Rumput ke pusat bandar sebelum seorang daripadanya merempuh mangsa dipercayai akibat hilang kawalan.
“Akibat rempuhan itu, mangsa mati di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat, manakala pemuda yang merempuhnya cedera dan dibawa ke hospital sama untuk dirawat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Melaka Tengah Asisten Superintendan V Gunasegaran ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kemalangan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan,” katanya.
Foto
ANGGOTA Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) memeriksa mayat mangsa sebelum dihantar ke Hospital Melaka.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/18

No comments:

Post a Comment