Search This Blog

Friday, August 22, 2014

Ketua pembangkang Pakistan ugut serang kediaman rasmi PM


ISLAMABAD 20 Ogos - Ketua pembangkang Pakistan, Imran Khan semalam mengugut mahu menyerang kediaman rasmi Perdana Menteri, Nawaz Sharif jika beliau enggan melepaskan jawatannya menjelang malam esok, ketika beribu-ribu penunjuk perasaan anti-kerajaan memasuki lokasi kawalan keselamatan tinggi 'Zon Merah' dan mendirikan khemah di hadapan bangunan Parlimen, laporan laman web India Times.
"Jika Nawaz enggan meletak jawatan, kami akan menyerbu masuk ke dalam kediaman Perdana Menteri," kata Imran ketika berucap di hadapan penunjuk perasaan di luar bangunan Parlimen.
Terdahulu, penunjuk perasaan yang diketuai parti Pakistan Awami Tehreek dan Pakistan Tehreek-e-Insaf berarak ke kawasan Zon Merah dan mendirikan khemah di bangunan Parlimen, walaupun kerajaan, anggota pembangkang dan pihak tentera menggesa supaya pertelingkahan itu ditamatkan menerusi rundingan.
"Anda semua harus berjanji, jika apa-apa berlaku kepada saya, anda semua harus membalas dendam terhadap Nawaz," kata Imran sebelum memulakan perarakan ke kawasan Zon Merah yang menempatkan beberapa buah bangunan utama kerajaan.
Tindakan penunjuk perasaan memasuki Zon Merah mengakibatkan berlaku pertempuran kecil dengan pihak berkuasa, sebelum anggota polis berundur ekoran bimbang berlakunya keganasan yang lebih besar.
"Perdana Menteri memberitahu saya beliau mengarahkan polis supaya bertindak mengambil tindakan keras ke atas penunjuk perasaan yang turut disertai kaum wanita dan kanak-kanak," kata anak perempuan Nawaz, Maryam dalam laman sosial Twitternya.
Sementara itu, jurucakap perkhidmatan perhubungan awam, Asim Bajwa dalam laman sosial Twitter memberitahu, bangunan yang terdapat di Zon Merah merupakan simbol negara yang perlu dihormati dan dikawal oleh tentera.
"Situasi ketika ini memerlukan kesabaran, kebijaksanaan dan kearifan daripada semua pihak dalam menyelesaikan kebuntuan yang berlaku menerusi dialog," jelasnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140821/lu_03/Ketua-pembangkang-Pakistan-ugut-serang-kediaman-rasmi-PM#ixzz3B4Nx7o1o
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment