KUALA TERENGGANU – Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Tugas-tugas Khas negeri, Ghazali Taib menyerahkan kes dakwaan seorang guru memukul pelajar di sebuah sekolah di Marang kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

“Kita (juga) difahamkan guru terbabit telah memohon maaf kepada pelajar terbabit, tetapi dimaklumkan pihak keluarganya tetap meneruskan laporan (polis),” katanya ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Merdeka Raya Majlis Belia negeri di sini, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas laporan Sinar Harian 19 Ogos lalu mengenai dakwaan seorang pelajar tingkatan empat di sebuah sekolah di Marang pengsan akibat tengkuknya dipukul guru lelaki selepas melambaikan tangan ke arah guru terbabit.

Mangsa, Mohd Firdaus Paudzi, 16, turut mendakwa, sebelum dipukul, kepalanya turut dihantukkan ke kepala seorang rakan sekelasnya ketika mereka berada di koridor bangunan makmal oleh guru yang mengajar pendidikan jasmani itu.

Malah pada 22 Ogos lalu, Ghazali juga telah mengarahkan Pejabat Pendidikan Daerah Marang membuat laporan penuh mengenai perkara itu dan memanggil pengetua sekolah terbabit bagi mendapat penjelasan sebenar kejadian itu.

Berikutan kejadian itu, beliau meminta warga pendidik di negeri ini agar sentiasa merujuk kepada kadar dan peraturan ditetapkan apabila mengambil tindakan ke atas pelajar bagi mengelak perkara luar jangkaan dan tidak diingini berlaku. 

Ghazali berkata, masalah di luar sekolah tidak wajar dibawa bersama ke dalam alam persekolahan kerana ia dapat memberi kesan kepada orang lain, khususnya pelajar.

“Sebagai seorang pendidik, kita mesti mempunyai sifat sabar yang tinggi dalam menghadapi kerenah anak-anak didik kita. Kadangkala kita kena asingkan masalah di rumah atau masalah di luar, jangan dibawa emosi itu bersama kita ke dalam alam persekolahan.

“Sebab apabila marah, ia akan mendorong berlaku perkara tidak diingini. Namun, bukan bermaksud (guru) tidak boleh mengambil tindakan kepada pelajar, tetapi perlu merujuk (kepada) kadar dan peraturan yang ditetapkan.

“Elakkan menjatuhkan hukuman dengan kekasaran atau dengan kekuatan tangan atau kaki. Sebaliknya, beri kaunseling kepada murid bermasalah itu,” katanya.