Search This Blog

Friday, August 22, 2014

‘Keldai’ terkandas


Oleh Siti A’isyah Sukaimi

Sepang: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menahan seorang wanita warga Filipina kerana cuba menyeludup dadah jenis methamphetamine atau syabu seberat 3.60 kilogram bernilai RM680,000 yang disorokkan dalam beg tangan jam 2 pagi, Selasa lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) di sini.

Pengarah Kastam KLIA Datuk Chik Omar Chik Lim berkata, wanita berusia 38 tahun itu tiba di KLIA2 jam 1.50 pagi menaiki pesawat dari Hong Kong dan akan ke Surat Thani, Thailand pada hari sama.

Menurutnya, hasil imbasan dan pemeriksaan rapi bagasi yang dibawa wanita terbabit menemui sembilan beg tangan baru dan dibalut dengan plastik.

“Semua beg tangan berkenaan mempunyai ruangan direka khas dan terdapat serbuk putih disorok dalam ruangan itu dan apabila diuji ia positif dadah jenis methamphetamine.

“Berikutan itu, suspek kini direman tujuh hari serta disiasat mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati,” katanya pada sidang media di Kompleks Kastam KLIA di sini, semalam.

Chik Omar berkata, pemeriksaan terhadap dokumen perjalanan suspek mendapati wanita itu baru pertama kali tiba di Malaysia.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/22

No comments:

Post a Comment