KLUANG - Identiti mayat reput yang ditemui pekerja ladang di Ladang Sembrong berhampiran Pekan Layang-Layang pada 21 Julai lalu telah dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Roze Shaari mengesahkan mangsa, A Senmuhun berusia 59 tahun dan berasal dari Kampung MIC, Kluang dilaporkan hilang pada 4 Jun lalu, namun hanya keretanya dapat dikesan setelah ditinggalkan di Taman Sri Lambak, keesokan harinya.

Beliau berkata, warga emas berkenaan bekerja sendiri dan dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum ditinggalkan di tepi jalan dalam ladang tersebut, namun kelewatan untuk menemuinya adalah kerana ladang tersebut baharu sahaja selesai kerja meracun rumput.

“Siasatan lanjut akan diteruskan bagi mengenal pasti punca kejadian dan kerjasama masyarakat awam diperlukan. Polis akan mencari bukti kukuh agar suspek ditahan,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Roze berkata, keadaan mayat si mati yang hanya tinggal tulang menyukarkan pihaknya mengenal pasti punca kematian.

“Bagi mereka yang ternampak perkara mencurigakan berlaku di tepi jalan berhampiran Ladang Sembrong pada 4 Jun lalu digesa tampil memberikan maklumat.

“Walau bagaimanapun, maklumat tentang keluarga si mati tidak boleh didedahkan di sini kerana ianya akan melibatkan keselamatan mereka selain boleh menjejaskan penyiasatan,” katanya.

Mohd Roze berkata, kes disiasat di bawah seksyen 302 kanun keseksaan yang boleh membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.