Search This Blog

Monday, August 18, 2014

Hilang dua anak serentak


Kuala Kangsar: Percutian lima beranak ke sebuah pusat peranginan di Bukit Merah di sini, berakhir tragedi apabila dua daripada mereka terbunuh dalam kemalangan di Kilometer 231.8, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah Selatan, berhampiran susur Kuala Kangsar, kelmarin.
Dalam kejadian jam 11 malam itu, mangsa, Muhamad Hafeez Hadzry Ismail, 9, maut di tempat kejadian manakala adiknya, Afrina Nur Jameela Ismail, 6, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Taiping.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Ghuzlan Salleh berkata, kemalangan berlaku apabila kereta Toyota Vios yang dipandu bapa mangsa, Ismail Mohammad Saat, 33, gagal dikawal sehingga terbabas ke kiri jalan.

“Lima beranak dari Kuantan, Pahang itu dikatakan dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan mereka di Bukit Merah selepas keluar ke pekan Changkat Jering, dekat sini.
Foto
SEORANG daripada anak mangsa maut di tempat kejadian.

“Bagaimanapun, sebaik melepasi Plaza Tol Changkat Jering, kereta yang dipandu Ismail yang juga pengurus cawangan sebuah syarikat telekomunikasi di Kuantan itu tersalah arah dan ingin membuat pusingan ‘U’ di Plaza Tol Kuala Kangsar. Bagaimanapun, setibanya di tempat kejadian kereta yang dipandunya hilang kawalan lalu terbabas merempuh pembahagi jalan di sebelah kiri jalan,” katanya.

Menurutnya, kesan rempuhan itu menyebabkan dua anak Ismail tercampak ke luar hingga menyebabkan seorang daripadanya maut di tempat kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Taiping.

“Kedua-dua mayat dibedah siasat di Hospital Taiping sebelum dituntut keluarga mangsa untuk urusan pengebumian,” katanya.

Ghuzlan berkata, Ismail bersama anak bongsunya,Muhammad Hareez Hafiey, 4, cedera ringan manakala isteri Ismail, Idayu Sulaiman, 31, patah bahu kanan.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/18

No comments:

Post a Comment