AYER KEROH - Hanya kerana RM24, seorang wanita berdepan hukuman penjara serta denda apabila didakwa mencuri wang berkenaan dari sebuah pasar raya terkemuka bulan lalu.

A Sulasana, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan apabila pertuduhan  dibacakan kepadanya di hadapan Majistret Ida Rahayu Sharif.

Mengikut pertuduhan, tertuduh, yang juga pekerja pasar raya itu, didakwa mencuri wang tunai RM24 milik pasar raya berhampiran Melaka Sentral itu  kira-kira jam 4.14 petang pada 14 Julai lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Sekyen 381 Kanun Keseksaan.

Pertuduhan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nabilah Nizam manakala tertuduh diwakili peguam bela Ishak Kari.

Nabilah kemudiannya mencadangkan jaminan RM5,000 terhadap tertuduh sementara menantikan tarikh sebutan semula kes terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, Ishak merayu supaya mahkamah mengenakan jaminan rendah  memandangkan anak guamnya kini tinggal dengan keluarga angkat kerana baharu beberapa bulan memeluk Islam.

Ida Rahayu kemudiannya membenarkan tertuduh dijamin RM1,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 4 September depan sebagai tarikh sebutan  semula kes.

Sementara itu, dalam mahkamah sama, nelayan Rahmat Siron, 48, mengaku bersalah atas pertuduhan menjual dan memiliki mercun serta bunga api di sebuah bazar Ramadan pertengahan bulan lalu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki pelbagai jenis mercun serta bunga api tanpa kebenaran yang sah kira-kira jam 11 malam 11 Julai lalu di Bazar Ramadan Taman Seri Telok Mas.

Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan dan Senjata Api 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Ida Rahayu kemudiannya memerintahkan tertuduh didenda RM1,000 atau penjara sebulan jika gagal membayar denda berkenaan.