Search This Blog

Sunday, August 31, 2014

Geng samun guna kereta curi tumpas


WARTAWAN SINAR HARIAN
31 Ogos 2014

ALOR SETAR - Tindakan kurang bijak sekumpulan lelaki menggunakan kereta curi untuk melakukan kegiatan menyamun membawa padah apabila dikesan polis semalam.

Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, suspek terdiri dari tiga orang lelaki berumur dalam lingkungan 20 hingga 24 tahun.

Menurutnya, kes samun pertama berlaku kira-kira jam 7.45 pagi di kawasan berhampiran kedai rangkaian runcit serbaneka 24 jam, Jalan Datuk Kumbar.

“Sewaktu kejadian suspek menyamun kereta perodua Kenari milik seorang wanita. Mangsa kemudian segera membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

“Selang tempoh dua jam kemudian, sekitar jam 10 pagi satu lagi kejadian samun dilaporkan berlaku di Pendang dan suspek menyamun dua telefon bimbit milik wanita lain,” katanya kepada media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, semalam.

Hadir sama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah, Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya.

“Maklumat mengenai kedua-dua kes samun itu dimaklumkan ke semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) bagi mengesan suspek.

“Hasil tindakan pantas unit kereta peronda dan bilik gerakan IPD Kota Setar dan Pendang berjaya mengesan kereta berkenaan berhampiran di kawasan Kota Sarang Semut. Semua suspek berjaya ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

No comments:

Post a Comment