Search This Blog

Thursday, August 7, 2014

Geng remaja dicekup polis



AKSI sekumpulan remaja menyamun kafe siber dirakam CCTV di Bukit Mertajam, Pulau Pinang kelmarin.


BUKIT MERTAJAM - Lima remaja termasuk seorang perempuan dicekup polis selepas kesemua mereka dipercayai terlibat dengan kes samun sebuah kafe internet di Taman Sri Kijang di sini awal pagi kelmarin.
Jurucakap polis berkata, tiga daripada suspek berusia antara 15 hingga 17 tahun itu telah menyerbu kafe siber berkenaan kira-kira pukul 4 pagi sebelum melarikan diri dengan sebuah kereta.
"Tiga suspek lelaki dengan memakai topeng mulut dan bersenjatakan parang masuk ke premis itu sebelum salah seorang daripadanya mengacukan parang ke arah seorang penjaga kafe siber itu sambil minta wang yang tersimpan di dalam laci kaunter.
"Aksi suspek terlibat turut dirakam menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di kedai terbabit," katanya.
Tambahnya, kesemua suspek kemudiannya melarikan diri dengan sebuah kereta Proton Iswara berwarna putih sejurus memperoleh wang tunai kira-kira RM250.
Katanya, polis berjaya memberkas suspek berkenaan apabila anggota Balai Bukit Tengah di sini yang sedang melakukan rondaan menerima maklumat selepas mangsa membuat laporan.
"Penjenayah remaja terbabit enggan memberhentikan kereta ketika diarahkan oleh pasukan polis sebelum kereta dipandu suspek terbabas ke dalam semak.
"Pemeriksaan kemudian menemui senjata jenis parang dan topeng penutup muka dalam kereta suspek," ujarnya
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Rusli Mohd. Noor ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
Katanya, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan menggunakan senjata.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0807&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz39f3vi61M 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment