KUNMING - CHINA. Sekurang-kurangnya 398 maut manakala lebih 1,800 cedera selepas gempa berkekuatan 6.1 skala Richter menggegar sebahagian wilayah barat daya China.

Agensi berita Xinhua melaporkan lebih 30,000 rumah di wilayah Yunnan turut musnah.

"Bekalan elektrik dan talian telekomunikasi juga terputus di seluruh kawasan yang terlibat," menurut laporan agensi berita itu.

Susulan daripada itu, usaha mencari dan menyelamat (Sar) telah diperhebat di daerah Ludian serta sekitar kawasan terjejas walaupun pihak berkuasa kini diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga untuk menghadapi ancaman gempa susulan.
Seramai 7,000 anggota keselamatan dikerah untuk menyertai operasi Sar terbabit, namun hujan lebat berterusan menyukarkan lagi usaha tersebut.

Difahamkan, pasukan sukarelawan termasuk Persatuan Palang Merah China juga mula menghantar bantuan kepada ribuan penduduk yang kehilangan tempat tinggal.

Seorang penduduk di Zhaotong, Ma Liya memberitahu gempa itu menyebabkan lebih banyak kemusnahan berbanding dua tahun lalu.

"Ramai penduduk masih terperangkap di sebalik timbunan runtuhan. Bekalan makanan dan ubat-ubatan juga semakin berkurangan," katanya menurut laporan AFP.
Pada 1974, gegaran berkekuatan 6.8 skala Richter telah meragut lebih 1,500 nyawa manakala 80 maut selepas gempa berkembar menggegar kawasan sempadan pergunungan Yunnan dan Guizhou pada September 2012.