Search This Blog

Monday, August 18, 2014

Ferguson terus tegang


Polis melepaskan gas pemedih mata ke arah kira-kira 200 penduduk yang mengadakan tunjuk perasaan di Ferguson, Missouri, AS, semalam bagi menuntut pembelaan ke atas Michael Brown yang ditembak mati oleh polis pada 9 Ogos lalu. - AFP
FERGUSON, Missouri 17 Ogos - Ketegangan di St. Louis, di sini dilihat semakin meningkat apabila seorang penunjuk perasaan cedera teruk akibat ditembak, manakala tujuh yang lain ditahan dalam satu tunjuk perasaan yang diadakan bagi membantah insiden seorang remaja lelaki kulit hitam ditembak mati oleh seorang pegawai polis di sini pada 9 0gos lalu.
Polis melepaskan tembakan gas pemedih mata bagi menyuraikan kira-kira 200 penduduk yang enggan meninggalkan kawasan tersebut selepas Gabenor Missouri, Jay Nixon, semalam mengisytiharkan darurat di Ferguson dan mengarahkan tempoh berkurung dikuat kuasa dari pukul 12 tengah malam (11 pagi waktu tempatan) hingga lima pagi, ekoran ketegangan yang berlaku sejak kelmarin, ekoran insiden itu.
Pegawai polis yang tiba dengan lima buah kenderaan bersenjata mendekati kumpulan penunjuk perasaan itu dan memberitahu, mereka melanggar perintah berkurung dan perlu meninggalkan lokasi itu dengan segera.
Penunjuk perasaan, bagaimana pun berkata, mereka mempunyai hak untuk mengadakan bantahan secara aman, sebelum polis melepaskan tembakan.
Sebelum ini, polis mengenal pasti pegawai polis yang menembak mati Michael Brown, 18, sebagai Darren Wilson serta menyiarkan rakaman video yang menunjukkan Brown merompak sebuah kedai runcit sebelum insiden dia ditembak mati.
Nixon berkata, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) sedang memperluaskan proses siasatan berhubung kejadian itu.
Tambah beliau, perintah berkurung itu dikuat kuasakan bagi melindungi penduduk serta harta benda awam di Ferguson, selepas orang ramai merampas barangan di kedai-kedai dan bertelingkah dengan polis.
Pada masa sama, pegawai polis yang bertanggungjawab terhadap keselamatan di Ferguson, Ron Johnson berkata, seramai 40 ejen daripada Biro Siasatan Kebangsaan (FBI) telah pergi ke setiap rumah di kawasan penempatan sejak semalam bagi mendapatkan maklumat dan mengenal pasti saksi kejadian tembakan tersebut. - AGENSI/AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140818/lu_07/Ferguson-terus-tegang#ixzz3Ah2Tc449
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment