JOHOR BAHRU - Empat wanita warga asing ditahan Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Negeri Johor dalam serbuan Ops Sayang di sebuah rumah di Kulaijaya, dekat sini, 21 Ogos lalu.

Serbuan dilakukan 10 anggota diketuai Timbalan Penolong Pengarah Imigresen, Kharulanuar Abu Bakar sekitar jam 1.10 petang.

Ketua Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Negeri Johor, Masri Adul berkata, kesemua wanita yang ditahan merupakan warga Indonesia berusia 22 hingga 50 tahun.

Menurutnya, wanita warga asing itu dipercayai melakukan aktiviti pelacuran di rumah setinggan yang diserbu pada caj RM50 hingga RM70 bagi sekali perkhidmatan.

“Bertindak atas maklumat awam, saya mengarahkan ketua ops untuk menghantar anggota dan pegawai untuk membuat penyamaran sebelum pemeriksaan ke lokasi kediaman.

“Selepas mendapat maklumat daripada pegawai yang menyamar, ketua ops bersama beberapa anggota dan pegawai lain memeriksa rumah. Ketika pemeriksaan dilakukan, seorang wanita tempatan berusia 75 iaitu pemilik rumah datang, namun setelah diperkenalkan diri operasi diteruskan,” katanya, semalam.

Masri berkata, hasil pemeriksaan keseluruhan rumah terbabit, empat wanita berkenaan ditemui dan di antara mereka berada ditahan bersama anggota serta pegawai yang menyamar dalam ops ini.

“Difahamkan, daripada pembayaran dikenakan, RM10 diberi kepada Mami atau tuan punya bilik sebagai bayaran sewa bilik.

“Mereka ditahan di bawah Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalah guna pas lawatan sosial,” katanya.

Kesemua warga asing didibawa ke Kompleks Kementerian Dalam Negeri, Taman Setia Tropika dan operasi tamat jam 1.50 petang.