Search This Blog

Thursday, August 7, 2014

Empat sekeluarga disamun 4 lelaki bersenjata pisau


6 Ogos 2014

BENTONG - Empat sekeluarga diikat dengan kain dan wayar seterika semasa disamun empat lelaki bersenjatakan pisau pemotong daging yang melarikan barangan bernilai lebih RM20,000 di rumah mereka di Kampung Baru dekat sini hari ini.
 
Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Mohamad Nor Mansor berkata, sebelum kejadian wanita yang bekerja sendiri itu keluar dari rumah untuk mengambil anak lelakinya, 8, di Sekolah Kebangsaan Tun Fatimah, kira-kira 100 meter dari rumah mereka sementara ibu dan seorang lagi anak lelakinya berada di rumah.
 
"Sebaik sampai di rumah, mangsa menyedari terdapat sebuah kereta jenis Proton Wira berwarna biru di hadapan pintu pagar rumahnya lalu bertindak menghampirinya.
 
"Tiba-tiba seorang lelaki yang menutup muka dengan kain keluar dari tempat duduk belakang kereta itu sambil memegang pisau pemotong daging meluru ke arah mangsa lalu mengarahkannya masuk ke dalam rumah," katanya kepada Bernama hari ini.
 
Mohamad Nor berkata, seorang lagi suspek yang memakai topi keledar juga masuk ke dalam rumah dan sempat mengambil kain di ampaian lalu mengikat tangan mangsa dan dua anak lelakinya.    

Mohamad Nor berkata, ibu mangsa turut diikat dengan menggunakan wayar seterika dan mereka kemudian dikumpulkan di dalam sebuah bilik di tingkat bawah rumah mereka.
 
Suspek, katanya, turut meminta mangsa menanggalkan semua barang kemas yang dipakai, manakala rakan jenayah suspek yang lain bertindak menggeledah rumah.
 
Beliau berkata selepas itu suspek kemudian bertindak melarikan diri melalui pintu hadapan dengan Proton Wira terbabit.
 
Katanya, mangsa kemudiannya dapat melepaskan diri sebelum menghubungi polis.
 
"Pemeriksaan awal mendapati mangsa turut kehilangan sebuah komputer riba dan telefon bimbit dengan anggaran kerugian bernilai lebih RM20,000 termasuk barang kemas.
 
Menurutnya juga, polis percaya suspek yang berusia lingkungan 20an memakai kemeja dan baju-t serta berseluar jeans itu merupakan orang tempatan dan gerakan memburu kesemua suspek sedang dijalankan. - Bernama

No comments:

Post a Comment