Search This Blog

Monday, August 11, 2014

Elak ditipu agensi haji


Sultan Sharafuddin Idris Shah bersalam dengan peserta Majlis Penutupan Kursus Perdana Haji 1435 Hijrah Peringkat Negeri Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor, semalam. Turut hadir Abdul Khalid Ibrahim (dua dari kiri) dan Ismee Ismail (kiri). - UTUSAN/Mohd. Shaharani Saibi
SHAH ALAM 10 Ogos - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan bakal jemaah haji supaya tidak berurusan dengan agensi yang diragui statusnya.
Baginda bertitah, langkah itu penting bagi mengelak mereka daripada menjadi mangsa penipuan sehingga sukar melaksanakan rukun Islam kelima itu.
"Beta ingin mengingatkan kepada bakal haji supaya tidak berurusan dengan agensi haji yang diragui akan statusnya.
"Beta tidak mahu ada bakal haji di Selangor mendapat masalah berkaitan dengan proses perjalanan pergi atau balik dalam menunaikan ibadat itu sama ada di Malaysia atau pun di Arab Saudi," titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika menutup Kursus Perdana Haji 1435 Hijrah Peringkat Negeri Selangor yang dihadiri 3,600 orang bakal haji di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.
Yang turut hadir mengiringi baginda ialah Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamed Khusrin Munawi; Mufti Selangor, Datuk Mohd. Tamyes Abd. Wahid; Ketua Pengawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Tan Sri Ismee Ismail dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Ahmad Zaharin Mohd. Saad.
Baginda turut menasihatkan bakal haji supaya membuat persiapan sebaik-baiknya sebelum berangkat ke Tanah Suci selain memastikan menjaga akhlak, tingkah laku serta nilai budi yang tinggi sepanjang musim haji.
"Tunaikan ibadah dengan tertib, sabar dan mengikut peraturan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa oleh pihak pengurusan Tabung Haji dan juga pihak berkuasa Arab Saudi," titah baginda.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140811/dn_04/Elak-ditipu-agensi-haji#ixzz3A1v4El4T
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment