Search This Blog

Friday, August 22, 2014

Dua pelajar maut, kemalangan berasingan


21 Ogos 2014

KUANTAN - Dua pelajar terbunuh selepas motosikal yang ditunggangi mereka terlibat dalam dua kemalangan berasingan di Maran dan Rompin, semalam.
 
Pelajar berkenaan ialah Hamirul Hakim Abdullah, 15, dari Felda Jengka 10 Bandar Jengka, Maran dan Mohd Alif Aiman Mohd, pelajar Tingkatan 1 dari Felda Selancar, Rompin.
 
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri Deputi Superintendan Mohd Noor Yusof Ali berkata, dalam kejadian pertama pada 5.21 petang di Kilometer 41 Jalan Maran-Jerantut, dekat Maran, Hamirul Hakim yang menungang sendirian telah bertembung dengan sebuah lori membawa muatan anak ayam.
 
Katanya, mangsa dipercayai telah berlanggar secara bertentangan dengan lori tiga tan di satu selekoh yang datang dari arah Jerantut.
 
"Bagaimanapun, pemandu lori terbabit, Abdul Jabar bin Abdul Aziz, 32, dari Ledang, Johor Bahru tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa tidak memakai topi keledar semasa kejadian dan hasil saringan air kencing ke atas pemandu lori terbabit turut mendapati dia positif ganja.
 
Pemandu lori kini ditahan untuk siasatan lanjut dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Jengka untuk bedah siasat, katanya.
 
Sementara itu, dalam kejadian pada 5.49 petang di Jalan Utama Felda Selancar 5, di Cenderawasih dekat Rompin, Mohd Alif Aiman Mohd Jaki, 13, maut selepas motosikal yang ditungganginya melanggar bahagian belakang sebuah jentolak di hadapanya.
 
Mohd ALif yang menunggang bersama rakannya Mohd Yusry Kamarudin, 13, dari rumah mereka di Felda Selancar sedang menuju ke Sekolah Menengah Kebangsaan Selancar, Rompin.
 
Mangsa dipercayai menunggang secara melulu sambil bersembang dan telah terlanggar belakang jentolak tersebut yang sedang bergerak, kata Mohd Noor.

Beliau berkatam, akibat pelanggaran itu, mangsa yang parah di kepala dan badan disahkan mati selepas dua jam menerima rawatan di Klinik Perwira Jaya, Cenderawasih manakala rakan mangsa hanya cedera ringan.
 
Pemandu jentolak, N. Ananthan, 21, itu pula tidak mengalami sebarang kecederaan, katanya.
 
Kedua-dua pelajar itu tidak memakai topi keledar semasa kejadian dan tiada lesen memandu yang sah, katanya.
 
Menurutnya kedua-dua kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.  - Bernama

No comments:

Post a Comment