Search This Blog

Friday, August 22, 2014

Dua mangsa tsunami ditemui semula


Septi Rangkuti (tengah) dan isterinya Jamilah (kanan) menemui semula dua anak mereka Arif Partama Rangkuti (duduk tengah) dan Raudhatul Jannah (kiri) ya ng hilang semasa bencana tsunami di Aceh pada 2004. - AGENSI
JAKARTA 20 Ogos - Sepasang suami isteri dari Indonesia disatukan semula dengan anak lelaki mereka yang hilang akibat dihanyutkan ombak besar tsunami yang melanda wilayah Aceh pada 2004, dalam satu pertemuan penuh emosi di bandar Payakumbuh di wilayah Sumatera Barat, kelmarin.
Ajaibnya bagi Jamaliah dan suaminya, Septi Rangkuti, pertemuan semula mereka dengan anak lelaki mereka, Arif Pratama Rangkuti, kini 17 tahun, berlaku selang beberapa minggu selepas pasangan itu bertemu semula dengan anak perempuan mereka, Raudhatul Jannah, 14, yang turut hilang dihanyutkan ombak besar tersebut.
Dengan kembalinya Arif Pratama Rangkuti dan Raudhatul Jannah, keluarga Jamaliah kembali lengkap selepas 10 tahun mereka terpisah akibat bencana yang mengorbankan lebih 170,000 penduduk Indonesia, lapor Mail Online.
Pasangan itu dipertemukan dengan anak lelaki mereka di rumah pasangan yang menemui remaja itu, Lana Bestari dan Windu Fajri yang menemui remaja itu tidur di luar sebuah kafe siber yang dimiliki mereka di Payakumbuh, sejak beberapa bulan lalu.
Menurut Lana, selepas melihat gambar Arif Pratama Rangkuti semasa kecil di televisyen, dia percaya bahawa remaja itu adalah kanak-kanak yang sering tidur di premisnya lalu menghubungi Jamaliah dan sentiasa berhubung sejak itu.
"Benar, dia adalah anak lelaki kami. Kami sedang membuat persediaan untuk membawanya pulang,'' kata Rangkuti, sambil menjelaskan bahawa anaknya telah hidup sebagai kanak-kanak jalanan sejak 10 tahun lalu di kepulauan Sumatera.
Jamaliah yang ditemui di Payakumbuh dilihat menangis semasa dia memeluk remaja itu yang kelihatan malu dan terharu.
Penyatuan semula keluarga tersebut mendapat liputan meluas media yang merakamkan pertemuan 'ajaib' Jamaliah dan Septi Rangkuti dengan anaknya perempuannya Raudhatul Jannah pada Jun lalu selepas saudara mereka melihat remaja itu yang mempunyai wajah mirip ibunya di sebuah kampung di pedalaman Aceh.
"Saya berdoa sepanjang malam kerana jauh di sudut hati, saya percaya bahawa anak-anak saya masih hidup.
"Suami saya sentiasa resah berada di rumah kerana memikirkan nasibnya. Saya sering berkata anak lelaki kami masih hidup,'' katanya. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140821/lu_09/Dua-mangsa-tsunami-ditemui-semula#ixzz3B4OWFffC
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment