• Dua kemalangan di lokasi sama

IPOH - Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) berpangkat Koperal maut, manakala seorang penunggang motosikal lain cedera dalam kemalangan melibatkan dua motosikal dan sebuah kereta yang berlaku di Kilometer 273 Lebuhraya Utara Selatan (arah selatan) malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 11 malam itu, mangsa, Ahmad Nazmi Samsudin, 35, yang menaiki motosikal Yamaha LC dipercayai dalam perjalanan dari Jelapang menuju ke rumahnya di Kem PGA Ulu Kinta.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Ipoh Deputi Superintendan Wan Sharuddin Wan Omar berkata, mangsa kemudiannya merempuh kereta Proton Saga BLM yang di parkir di tepi jalan kerana mengalami kerosakan.

“Rempuhan itu menyebabkan mangsa tercampak dari motosikalnya ke lorong kanan jalan sebelum motosikal Demak Scrambler melanggar mangsa sehingga menyebabkan dia cedera parah dan maut di tempat kejadian.

“Kemalangan tersebut turut mengakibatkan penunggang motosikal berusia 24 tahun itu cedera di beberapa bahagian badan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurutnya, mangsa yang maut dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat dan mangsa cedera turut dihantar ke hospital sama bagi mendapatkan rawatan.

“Semasa kejadian, cuaca baik, aliran trafik tidak sibuk dan keadaan jalan lurus. Bagaimanapun, kawasan persekitaran gelap kerana tiada lampu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu memandu kenderaan secara melulu hingga menyebabkan kematian dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM20,000 dan penjara tidak lebih 20 tahun,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Wan Sharuddin berkata, berlaku satu lagi kemalangan melibatkan empat kereta dan sebuah bas terlibat berhampiran kejadian kemalangan yang pertama.

Katanya, pada jam lebih kurang 11.25 malam, bas ekspres dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Melaka yang dipandu pemandu bas berusia 56 tahun itu menekan brek secara mengejut selepas melihat beberapa kenderaan berhenti di hadapannya.

“Bagaimanapun, bas ekspres itu terlajak ke hadapan dan melanggar kereta Perodua Myvi, Perodua Viva, Toyota Altis dan teksi Proton Iswara.

“Kesemua pemilik kenderaan tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kemalangan itu,” katanya.