• Muhamad Hafeez Hadzry maut di tempat kejadian selepas tercampak keluar dari kereta dipandu bapanya yang merempuh pembahagi jalan.Muhamad Hafeez Hadzry maut di tempat kejadian selepas tercampak keluar dari kereta dipandu bapanya yang merempuh pembahagi jalan.

KUALA KANGSAR - Dua beradik maut apabila kereta Toyota Vios dipandu bapa mereka hilang kawalan dan merempuh pembahagi jalan di Kilometer 231.8 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah selatan, di sini, malam kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 11 malam itu turut menyebabkan tiga lagi penumpang cedera.

Mangsa Muhamad Hafeez Hadzry Ismail, 9, maut di tempat kejadian manakala adiknya, Afrina Nur Jameela Ismail, 6, meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di Hospital Taiping.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Ghuzlan Salleh ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Menurutnya, keluarga mangsa yang berasal dari Kuantan, Pahang itu dikatakan dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan mereka di Bukit Merah selepas melawat pekan Changkat Jering.

“Bagaimanapun, sebaik melepasi Plaza Tol Changkat Jering, kenderaan yang dipandu Ismail yang juga pengurus sebuah syarikat telekomunikasi di Kuantan itu tersalah arah dan ingin membuat pusingan di Plaza Tol Kuala Kangsar.

“Bagaimanapun ketika tiba di lokasi kejadian, kenderaan yang dipandunya dikatakan hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan.

“Kesan pelanggaran tersebut menyebabkan kedua-dua mangsa tercampak ke luar jalan,” katanya.

Ghuzlan berkata, siasatan awal mendapati bapa mangsa dan anak bongsunya tidak mengalami kecederaan teruk manakala isterinya, Idayu Sulaiman, 31, hanya mengalami patah bahu kanan.

“Siasatan lanjut berhubung kejadian itu masih dijalankan,” katanya.