Search This Blog

Monday, August 18, 2014

Dua beradik maut, ibu parah


Salah seorang mangsa maut selepas kereta dinaikinya terbabas melanggar pembahagi jalan di Kilometer 231.8, Lebuh Raya Utara Selatan di Kuala Kangsa, Perak, malam semalam.
KUALA KANGSAR 17 Ogos - Dua beradik terbunuh sementara ibu mereka parah selepas kereta Toyota Vios yang dinaiki mereka terbabas melanggar pembahagi jalan di Kilometer 231.8, Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan, di sini malam tadi.
Mangsa yang terbunuh dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu ialah Muhamad Hafeez Hadzry Ismail, 9, dan Afrina Nur Jameela, 6. Ibu mereka, Idayu Sulaiman, 31, patah bahu kanan.
Bapa mangsa, Ismail Mohammad Saat, 33, yang merupakan pemandu Toyota Vios berkenaan serta seorang lagi anaknya, Muhammad Hareez Hafiey, 4, tidak mengalami kecederaan.
Difahamkan semasa kejadian, lima beranak dari Kuantan, Pahang itu dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan mereka di Bukit Merah selepas keluar ke pekan Changkat Jering. Bagaimanapun, sebaik sahaja melepasi Plaza Tol Changkat Jering, kenderaan yang dipandu Ismail yang merupakan Pengurus Celcom cawangan Kuantan sepatutnya mengambil laluan ke utara tetapi tersalah haluan menuju ke selatan.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ghuzlan Salleh berkata, mangsa kemudiannya berpatah balik ke arah utara melalui Plaza Tol Kuala Kangsar.
Katanya, sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, kenderaan yang dipandu mangsa gagal dikawal lalu terbabas melanggar pembahagi besi di kiri jalan sebelum merempuh pula pembahagi simen di kanan jalan.
"Akibat rempuhan itu, kedua beradik terbabit dipercayai tercampak keluar selepas pintu tempat duduk belakang kereta itu terbuka semasa kenderaan tersebut gagal dikawal.
"Muhamad Hafeez Hadzry yang maut di tempat kejadian dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat manakala empat ahli keluarga lain dirujuk ke Hospital Taiping untuk rawatan sebelum Afrina Nur Jameela disahkan meninggal dunia di hospital tersebut,'' katanya di sini hari ini.
Menurut Ghuzlan, ketika kejadian, keadaan jalan basah selepas hujan dan laluan lurus menuruni bukit dua lorong tidak berlampu.
Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140818/je_01/Dua-beradik-maut-ibu-parah#ixzz3Ah3jHqNN
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment