• Anggota polis menenteramkan seorang ahli keluarga mangsa.Anggota polis menenteramkan seorang ahli keluarga mangsa.

GEORGETOWN - Seorang lelaki warga emas ditemui rentung dalam kejadian kebakaran yang berlaku di rumahnya di Flat Padang Tembak di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.45 petang itu, mayat Tan Beng Poh, 60, ditemui tertiarap di hadapan pintu rumahnya selepas bomba memadamkan kebakaran yang memusnahkan rumah flat berkenaan.

Difahamkan, mangsa yang mengalami masalah mental itu cuba menyelamatkan diri namun dia mengalami sesak nafas dan rebah di depan pintu rumahnya sebelum tubuhnya dijilat api.

Adik mangsa, Tan Beng Hin, 56, berkata, abangnya tinggal sendirian di rumah terbabit sejak enam tahun lalu dan dia mengalami masalah mental selepas kilang tempatnya bekerja ditutup hampir 15 tahun lalu.

“Abang sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak namun dia tidak tinggal bersama isteri serta anaknya kerana penyakit dialaminya itu yang membuatkan dia suka berkurung dalam rumah.

“Hampir setiap hari dia akan pergi ke pejabat saya di Georgetown untuk mengambil wang dan kali terakhir kami bertemu beberapa hari lalu,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah berkata, pihaknya menerima panggilan jam 4.55 petang dan tiba di lokasi kira-kira 10 minit kemudian.

“Empat jentera dikejarkan ke lokasi kejadian dan hampir keseluruhan rumah mangsa hangus dalam kebakaran terbabit dan kita masih menyiasat punca kejadian.

“Selepas api dipadamkan, kita menemui mayat seorang lelaki yang hangus dalam keadaan tertiarap di depan pintu rumahnya,” katanya ketika ditemui media di lokasi kejadian.

Mohamad Shoki berkata, kejadian kebakaran itu adalah kali kedua berlaku di rumah berkenaan dan kali pertama ia berlaku tahun lalu.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat.