Search This Blog

Monday, August 11, 2014

Diserang individu bergelar sahabat


Keputusan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) memecat Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kelmarin memungkinkan pelbagai senario, namun hari ini menjadi titik paling penting kerana Majlis Dewan Diraja Selangor membincangkan kemelut itu.

Apa saja keputusan mesyuarat Majlis Dewan Diraja Selangor, yang jelas kelihatan sekarang ialah Abdul Khalid sudah hilang ramai orang yang pernah dipanggil kawan sebelum ini.


Pernah dijulang sebagai tokoh korporat yang hebat, Abdul Khalid hari ini diserang di segenap penjuru. Setiap pihak yang mungkin pernah menjadi kawan beliau bersungguh-sungguh mempertikaikan, mempersoal dan memusnahkan kredibiliti beliau.

Abdul Khalid dilihat sedaya-upaya bertahan asakan lawan dari parti sendiri dan tetap dengan pendirian mahu berkhidmat selagi boleh sebagai Menteri Besar.


Namun dalam drama memeningkan ini, rakyat sebenarnya menjadi mangsa kerana kepercayaan mereka memberi undi kepada pembangkang untuk memerintah negeri terkaya di Malaysia dibalas dengan kecelaruan percaturan politik dalaman PKR.


Menyifatkan ia sebagai pengkhianatan kepada rakyat, penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Datuk Dr Samsul Adabi Mamat berkata, di saat rakyat Selangor bimbang dengan masalah air, cuaca panas dan pelbagai masalah lain, PKR menambah pula kerisauan mereka dengan ketidakstabilan politik di negeri itu.

“Mereka berkeras untuk menyingkirkan Abdul Khalid supaya boleh digantikan dengan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bagi meneruskan apa yang mereka panggil ‘Langkah Kajang’.


“Ketika tumpuan seharusnya terarah kepada kebajikan rakyat dalam menyelesaikan isu berbangkit namun apa yang berlaku cukup menyedihkan, demi impian peribadi,” katanya.

Menurutnya, permainan politik PKR itu semakin menjerat rakyat Selangor dalam ketidaktentuan suasana politik.


“Di sini kita dapat saksikan kelemahan PKR, sesiapa saja yang tidak sehaluan dengan kepemimpinan parti akan disingkir atau dipulaukan, satu perbuatan yang bertentangan dengan keadilan demokrasi seperti dicanangkan mereka selama ini,” katanya.


Dr Samsul berkata, walaupun dipecat daripada parti, dari segi undang-undang, Abdul Khalid masih lagi Menteri Besar yang sah.


“Abdul Khalid hanya dipecat daripada partinya saja dan ia tidak menjejaskan jawatannya sebagai Menteri Besar dan juga pentadbiran negeri. Situasi ini juga tidak memberi kesan ahli Exco di bawah pentadbiran beliau,” katanya.


Beliau berkata, penyelesaian kemelut itu mungkin ditemui dalam Majlis Dewan Diraja Selangor hari ini.


Sama ada, Abdul Khalid kekal sebagai Menteri Besar atau beliau diganti ataupun Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dibubarkan untuk satu pilihan raya negeri, apa yang pasti rakyat sudah muak dengan politik tanpa henti dimainkan PKR.


Melihat apa yang mereka lakukan terhadap individu yang banyak berjasa kepada partinya, mungkin keadilan yang wujud dalam PKR adalah pada namanya saja. - Aizat Sharif

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/11

No comments:

Post a Comment