Search This Blog

Monday, August 18, 2014

didenda RM10,000


KUALA LUMPUR 15 Ogos - Penulis blog, Effi Nazrel Saharudin yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong dalam akaun Twitternya tahun lalu, didenda RM10,000 atau penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini.
Effi Nazrel yang dikenali sebagai Effi Obefiend, 35, dijatuhi hukuman itu setelah menukar pengakuan kepada bersalah hari ini atas dua pertuduhan mengeluarkan komen-komen jelik terhadap Seri Paduka di sebuah kondominium di Taman Puncak Desa, Kepong di sini antara pukul 11.21 pagi dan 11.23 pagi, 1 Jun 2013.
Kedua-dua pertuduhan tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya.
Hakim Zulqarnain Hassan menjatuhkan hukuman denda RM5,000 atau penjara tiga bulan bagi setiap pertuduhan.
Pada 5 Jun lalu, tertuduh yang merupakan orang kena saman (OKS) mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan yang dihantar melalui akaun Twitter miliknya dengan niat untuk menyakiti hati orang lain.
Terdahulu, peguam Syahredzan Johan yang mewakili Effi Nazrel memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk denda dengan alasan anak guamnya bekerja sebagai wartawan portal teknologi dengan pendapatan RM3,000 sebulan dan RM1,800 daripadanya perlu membayar pinjaman rumah selain perlu menanggung keluarga.
"Selain itu, pengakuan bersalah anak guam saya telah menjimatkan masa dan kos mahkamah serta OKS menyesali perbuatannya serta berjanji untuk lebih berhati-hati dalam menghantar sebarang komentar pada masa-masa yang akan datang," katanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Nazrul Nizam Mohd. Zameri pula berkata, sekiranya Effi Nazrel dikenakan denda, pihaknya memohon jumlah denda yang tersebut bukan sahaja menjadi pengajaran kepada OKS tetapi juga kepada orang awam.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140816/ma_01/didenda-RM10000#ixzz3Ah4xavkE
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment