Search This Blog

Wednesday, August 27, 2014

Dalang edar dadah RM1.26j masuk jerat


Kuala Lumpur: Seorang lelaki tempatan yang mendalangi sindiket memproses dan mengedar dadah di sekitar Lembah Klang berjaya ditahan di Seri Kembangan di sini, pada 14 Ogos lalu membabitkan rampasan dadah bernilai RM1.26 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, suspek ditahan hasil Op Jerun yang dilancarkan pada pertengahan bulan membabitkan beberapa operasi di seluruh negara.


Menurutnya, di Selangor, suspek yang mempunyai empat rekod jenayah lampau ditahan di ruang letak kereta sebuah apartmen di Seri Kembangan bersama pil Eramin 5 , lima kilogram serbuk syabu dan 13 liter cecair syabu dalam kereta yang dinaiki suspek.



“Soal siasat ke atas suspek pula membawa kepada penemuan alat serta bahan untuk memproses dadah bernilai RM1.26 juta.


“Sementara itu, di Perak pula, seorang penjawat awam ditahan bersama tiga lelaki tempatan oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak pada 19 Ogos lalu selepas sebuah rumah di Ipoh diserbu dan merampas dadah heroin seberat 24.8 gram,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.


Menurutnya, di Johor pula, sebuah rumah yang dijadikan makmal memproses pil ecstasy diserbu pada 17 Ogos lalu dan seorang lelaki tempatan ditahan bersama 2.2 kilogram (kg) pil Ekstasi, 21kg serbuk pil Ekstasi, 22kg serbuk kafein serta alat untuk menghasilkan pil Ecstasy. “Nilai rampasan dianggarkan bernilai RM2.7 juta dan suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut bagi mengenal pasti ahli sindiket yang masih bebas,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek kini ditahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan siasatan kini masih diteruskan bagi mengenal pasti ahli-ahli sindiket yang masih bebas.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/27

No comments:

Post a Comment