• Orang awam melihat tiga suspek curi besi penutup longkang ditahan polis marin kira-kira jam 7.30 petang di Jalan Tun Tan Cheng Lock di sini, kelmarin.Orang awam melihat tiga suspek curi besi penutup longkang ditahan polis marin kira-kira jam 7.30 petang di Jalan Tun Tan Cheng Lock di sini, kelmarin.

BANDA HILIR - Tiga lelaki sedang leka mencuri besi penutup longkang, dicekup orang awam dan dua polis marin di Jalan Tun Tan Cheng Lock di sini, lewat petang kelmarin.

Menurut sumber, ketiga-tiga lelaki yang menaiki kereta jenis Perodua Myvi itu terdahulu dilihat sedang leka mengangkat besi-besi tersebut sebelum orang awam di kawasan itu memaklumkan polis marin yang melalui kawasan sungai berhampiran.

Pemangku Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Razali Bakar berkata, dua anggota polis marin itu bertindak menahan ketiga-tiga lelaki terbabit dalam kejadian jam 7.30 petang.

“Pengadu merupakan anggota polis marin berusia 36 tahun bersama rakannya ketika hendak membuat rondaan rutin dimaklumkan orang awam mengenai tiga lelaki yang mencuri besi penutup longkang.

“Polis marin tersebut kemudian menangkap suspek berusia 30 hingga 43 tahun yang sedang mengangkat besi untuk dimasukkan ke dalam sebuah kereta Perodua Myvi.

“Pemeriksaan awal di dalam kereta tersebut mendapati terdapat besi lain di dalamnya,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di sini, semalam.

Razali berkata, ketiga-tiga suspek kemudian diserahkan kepada polis selain kereta dan besi-besi yang percayai dicuri turut dirampas.

“Mereka disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” katanya.