Search This Blog

Friday, August 15, 2014

Cincin berlian RM1.2 juta lesap


SALAH seorang daripada dua lelaki yang berpura-pura membeli cincin di sebuah galeri barangan kemas eksklusif di Starhill, Bukit Bintang, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 14 Ogos - Dua lelaki yang berpura-pura membeli cincin di sebuah galeri barangan kemas eksklusif di Starhill, Bukit Bintang di sini telah mencuri sebentuk cincin berlian 'Yellow Diamond' bernilai RM1.2 juta di premis itu hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu, kedua-dua lelaki yang dipercayai warganegara Taiwan itu melarikan cincin tersebut ketika mereka memilih sedulang barangan kemas itu yang mengandungi 19 bentuk cincin bersama seorang jurujual galeri berkenaan.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Senior Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, selepas lima minit meneliti cincin-cincin tersebut, suspek memberitahu jurujual yang mereka akan kembali semula ke kedai itu pada pukul 3 petang.
"Selepas kedua-duanya beredar, jurujual tersebut mengira cincin-cincin di dalam dulang itu namun mendapati sebentuk cincin bernilai RM1.2 juta telah hilang," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Zainuddin berkata, menurut jurujual berkenaan terdapat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kedai itu yang merakamkan suspek telah mengambil cincin tersebut.
Beliau berkata, pasukan forensik telah melakukan siasatan di tempat kejadian bagi mencari bahan bukti.
Januari lalu, sebentuk cincin 'Yellow Diamond' bernilai RM5.2 juta (AS$700,000) dicuri kumpulan yang terdiri daripada seorang lelaki, tiga wanita termasuk seorang yang sedang sarat mengandung serta seorang kanak-kanak perempuan berusia dalam lingkungan 12 tahun merupakan warga China di sebuah galeri jualan barang kemas eksklusif di Bukit Bintang.
Difahamkan, ketika itu kes seumpama itu yang melibatkan barang kemas mencecah nilaian jutaan ringgit adalah pertama kali terjadi di negara ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140815/je_08/Cincin-berlian-RM12-juta-lesap#ixzz3APUS2eqh
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment