Search This Blog

Monday, August 11, 2014

Bunyi letupan di lokasi nahas



KUMPULAN penyiasat yang berada di lokasi nahas pesawat MH17 di Donestk, timur Ukraine perlu lebih berhati-hati berikutan konflik masih tegang antara pasukan pemisah pro-Rusia dan tentera Ukraine.


SEPANG – Terdengar bunyi letupan bom dan tembak-menembak antara pengalaman getir yang dilalui kumpulan pertama pasukan khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam misi siasatan nahas pesawat MH17 di Donestk, timur Ukraine sepanjang 10 hari mereka berada di negara itu.
Mereka yang terdiri daripada 21 anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan enam komando VAT69 juga hanya sempat memasuki lokasi nahas dua atau tiga kali kerana tercetus konflik antara pasukan pemisah pro-Rusia dan tentera Ukraine.
Ketua kumpulan pertama itu, Deputi Superintendan Law Pang Tai berkata, disebabkan kawasan itu masih tegang, pasukannya terpaksa menunggu giliran mereka, selain pasukan dari Belanda dan Australia untuk memasuki lokasi tersebut bagi menjalankan operasi.
“Kami hanya dapat berada di lokasi itu paling lama dalam lingkungan dua hingga tiga jam bersama pasukan dari negara lain.
“Tugasan ini sangat mencabar kerana bunyi letupan bom dan tembak-menembak kedengaran begitu dekat dengan kami, namun ia tidak menggentarkan semangat kami,” katanya.

MUHAMAD FUZI (kanan) bersalaman dengan pasukan khas PDRM ke Ukraine semasa menyambut ketibaan mereka di KLIA, Sepang semalam.


Pang Tai yang merupakan Timbalan Pegawai Pemerintah FRU Johor Bahru berkata demikian kepada pemberita selepas tiba bersama pasukannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini semalam.
Pasukan yang tiba pada pukul 6.30 pagi tersebut disambut oleh Pengarah Jabatan Pengurusan PDRM, Datuk Seri Muhamad Fuzi Harun selain ahli keluarga masing-masing.
Sementara itu, anggota VAT69, Sarjan Mohd. Zulkifli Ali berkata, pasukan Malaysia juga tidak dibenarkan membawa senjata ke lokasi kejadian kerana keadaan di sana masih tegang.
“Suasana mula tegang beberapa hari lalu kerana puak bertelagah saling berbalas serangan dan kami hanya dapat masuk ke lokasi nahas jika selamat kerana bimbang terkena peluru atau bom,” ceritanya.
Dalam pada itu, Muhamad Fuzi memberitahu, kumpulan kedua terdiri daripada 11 anggota forensik PDRM pula tiba petang semalam, manakala kumpulan terakhir yang turut disertai Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dijangka tiba Selasa ini.
Penerbangan MH17 sedang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika terhempas di Donetsk, timur Ukraine berdekatan sempadan Rusia pada 17 Julai lalu.
Pesawat terbabit yang membawa 283 penumpang dan 15 kru dipercayai ditembak jatuh.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0811&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz3A2HPCWI2 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment