Search This Blog

Friday, August 15, 2014

Bunuh model: siasatan hampir lengkap


JOHOR BAHRU 14 Ogos - Polis negeri ini sedang melengkapkan semula kertas siasatan kes pembunuhan model sambilan warga Estonia, Regina Soosalu, 30, di Pulau Rawa, Mersing, awal bulan lalu.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, kertas siasatan yang dikemukakan pihaknya sebelum ini dikembalikan semula oleh Pejabat Peguam Negara dan meminta laporan itu diperkemaskan.
"Jadi, kita sedang berusaha memperkemaskan kertas siasatan itu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penghargaan Op Selamat 5 dan Kempen Rumah Selamat Sempena Perayaan Hari Raya Aidilfitri, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalannya, Datuk Ismail Yatim dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Hasnan Hassan.
Difahamkan, polis kini sedang menunggu laporan bagi melengkapkan kertas siasatan berkenaan termasuk keputusan asid dan toksikologi sebelum kertas siasatan itu dapat diserahkan semula kepada Pejabat Peguam Negara.
Regina tiba di Pulau Rawa dekat Mersing pada 1 Julai lalu sebelum ditemui lemas pada hari yang sama dan susulan itu polis menahan beberapa individu bagi membantu siasatan dan mereka sudah dibebaskan dengan jaminan polis.
Mayat model itu sudah diserahkan kepada keluarganya pada 24 Julai lalu menerusi wakil khas Republik Estonia di negara ini.
Dalam perkembangan berasingan, polis menahan tiga lelaki warga asing bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat seorang lelaki yang dikerat dua berhampiran Kilometer 24.3 Lebuh Raya Utara-Selatan di Kulaijaya pada 1 Ogos lalu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140815/je_04/Bunuh-model-siasatan-hampir-lengkap#ixzz3APTxG0e1
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment