Search This Blog

Friday, August 22, 2014

Bincang bawa gaduh


MOHD TAHA YAACOB
22 Ogos 2014

SETIU - Tiga lelaki termasuk dua beradik cedera parah dalam satu pergaduhan bersenjatakan pedang samurai dalam kejadian di Kampung Che Long dekat Hulu Seladang, Bandar Permaisuri, di sini, semalam.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 4.30 pagi selepas pasangan adik beradik berusia 24 dan 26 tahun, dikatakan pergi ke rumah datuk rakan mereka, seorang lelaki berusia 23 tahun.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Ab Rahman Raja Mohamed berkata, mereka pergi untuk berbincang tentang suatu perkara yang berjalan dengan baik pada peringkat awalnya, sebelum bertukar serius hingga membawa kepada pergaduhan.

Difahamkan, dalam pergaduhan itu, ketiga-tiga mereka saling menyerang dipercayai menggunakan senjata tajam iaitu sebilah pedang samurai menyebabkan kesemuanya cedera.

“Dua beradik itu meninggalkan lokasi kejadian dan polis yang menerima maklumat mengenai pergaduhan segera ke tempat kejadian.

“Sejurus kejadian itu, suspek berusia 24 tahun dikatakan pergi ke Hospital Setiu (HS) bagi mendapatkan rawatan tetapi melarikan diri sebaik melihat kehadiran polis. Polis yang menyerbu rumah dua beradik itu di Kampung Che Long, berjaya menemui si abang berusia 26 tahun, manakala si adik yang menyedari kehadiran polis cuba bersembunyi di dalam sebuah gaung bagi mengelak dikesan,” katanya.

Ab Rahman berkata, suspek bagaimanapun berjaya dibawa naik dengan bantuan pasukan bomba dan penyelamat sebelum ditahan, sementara abangnya yang berada dalam keadaan lemah dikejarkan ke HS bagi mendapatkan rawatan.

Polis kemudian turut menahan suspek berusia 23 tahun dan ketiga-tiga suspek dibawa ke HS untuk rawatan, namun dua daripadanya dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut, akibat cedera parah di tangan, belakang dan kepala.

Beliau berkata, suspek berusia 24 tahun pula dirawat Hospital Setiu.

“Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian dan tidak menolak kemungkinan serangan ini bermotifkan dendam lama.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan cedera parah menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya,” katanya.

No comments:

Post a Comment