Search This Blog

Tuesday, August 5, 2014

Bekas tentera Iraq lolos Depot Imigresen Lenggeng


SEREMBAN 4 Ogos - Jabatan Imigresen negeri ini memburu seorang lelaki warganegara Iraq yang mendakwa sebagai bekas tentera negara berkenaan, selepas melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Lenggeng dekat sini Jumaat lalu.
Jabatan tersebut turut menawarkan ganjaran RM1,500 kepada mana-mana pihak yang memberi maklumat sehingga tertangkapnya semula suspek.
Pengarah Imigresen negeri, Faizal Fazri Othman berkata, operasi memburu lelaki tersebut diperhebatkan dengan melibatkan anggota penguat kuasa imigresen negeri, imigresen Melaka dan Rela.
"Kita percaya dia masih lagi ber­ada dalam kawasan berdekatan," katanya di sini hari ini.
Difahamkan, lelaki Iraq yang ditempatkan di depot berkenaan sedang dalam proses pengusiran ke negara asalnya selepas tamat hukuman di penjara awal tahun ini atas kesalahan tinggal lebih masa di negara ini.
Lelaki itu dilaporkan melarikan diri daripada kawalan anggota sebuah agensi keselamatan pada pukul 4.20 petang dengan memanjat pagar di depot berkenaan semasa kerja mengangkat makanan menuju ke dalam blok terbabit dilakukan.
Suspek seterusnya dipercayai melarikan diri ke kawasan kelapa sawit berhampiran.
Faizal Fazri berkata, suspek sebelum ini ditahan kerana didapati menggunakan pasport palsu Kuwait, malah pihak Kedutaan Kuwait di ibu negara turut mengesahkan lelaki itu bukan warganegara mereka.
"Lelaki ini dilihat berada di Kampung Kapal, Lenggeng pukul 8.30 malam tadi dan sekali lagi di Kampung Daching Hilir, Lenggeng pada pukul 9.45 malam hari sama," katanya.
Kata Faizal Fazri, pihaknya difahamkan lelaki itu pernah berperang di Iraq dan masih terdapat peluru di dalam dadanya kesan daripada pertempuran tersebut.
"Kita meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat atau bertemu dengan lelaki Iraq ini, dapat segera menghubungi talian 06-7627707," katanya.
Difahamkan, suspek menggunakan pasport dipercayai milik individu lain dengan nama Mohamad Al Azim, 37.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140805/je_02/Bekas-tentera-Iraq-lolos-Depot-Imigresen-Lenggeng#ixzz39So0xa00
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment