KAMPAR – “Saya tak tahu bila kemalangan berlaku, sedar-sedar badan dah tergolek di lantai bas,” kata pemandu kedua sebuah bas ekspres yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer (KM) 304.1 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah utara berhampiran Gua Tempurung, semalam.

Dalam kejadian jam 5.55 pagi itu, bas membawa sembilan penumpang dari Johor ke Kamunting, Taiping itu dikatakan hilang kawalan ketika melalui selekoh sebelum merempuh belakang sebuah treler membawa muatan seramik.

Insiden menyebabkan pemandu bas, Mansor Shaari, 54, maut di tempat kejadian akibat tersepit, bagaimanapun sembilan penumpang lain terselamat dan hanya cedera ringan.

Wan Afzan Mizan, 35, ketika ditemui di unit kecemasan dan trauma Hospital Kampar berkata, ketika nahas berlaku, dia berada di bahagian belakang bas untuk lelap seketika.

Menurutnya, kebanyakan penumpang ketika itu, tidur kerana kepenatan menempuh perjalanan panjang.

“Tahu-tahu saja badan saya sudah tergolek di lantai bas, ada beberapa penumpang yang panik dan mula menangis bila nahas berlaku,” katanya yang mengalami luka di beberapa  anggota badan.

Bas berkenaan berlepas dari Johor jam 11 malam sebelum menurunkan penumpang di Kuala Lumpur. Kesemua baki penumpang itu  dijadualkan dihantar ke perhentian akhir di Kamunting, Taiping kira-kira jam 8 pagi.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, rempuhan kuat menyebabkan bahagian hadapan bas remuk teruk.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, semua yang cedera dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan,” katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan faktor cuaca dan keadaan jalan licin akibat hujan menyebabkan nahas berlaku.

“Buat masa ini tiada tangkapan dibuat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, rakan sekerja mangsa maut, Shahiran Pakechil, 47, memaklumkan, sebelum memulakan perjalanan, mereka sempat berbual panjang, namun Allahyarham menolak ajakan minum bersama kerana mengadu sakit gigi.

“Kami sempat berbual-bual, tak sangka hari ni dia dah tak ada, semalam (kelmarin) arwah nampak ceria sahaja, macam biasa, terasa macam mimpi,” katanya.

Shahiran berkata, arwah seorang pesara tentera sudah berkhidmat selama14 tahun sebagai pemandu bas dans eorang yang tegas dan mementingkan peraturan terutama ketika bertugas.

Adik mangsa, Shahrizal, 38, berkata, jenazah Allahyarham akan dikebumikan di kampung halaman di Alor Setar, Kedah.

“Isteri dan empat anaknya ada di Perlis, tapi setiap kali cuti, mereka akan pulang ke kampung di Kedah, kali terakhir kami bertemu pada Selasa minggu lalu ketika mereka pulang ke kampung,” katanya.